Anda di sini

Satu malam ditahan SPRM, Dato dan Datin dilepas

Advertisement
 

KUCHING: Dua pemilik syarikat bergelar 'Dato' dan 'Datin' dilepaskan tanpa syarat oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah ditahan selama satu malam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu.

Kes itu melibatkan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM5.8 juta untuk tender makanan masak ke sekolah menengah.

Pasangan suami isteri masing-masing berusia 56 dan 58 tahun itu dihadapkan ke hadapan Majistret Zaiton Anuar yang memutuskan tiada alasan bagi menahan reman.

Mereka ditahan SPRM pada petang Khamis.

SPRM mengatakan mereka dipercayai bersubahat dengan suspek lain dalam mengemukakan tuntutan palsu ketika membida tender bekalan makanan bermasak Kementerian Pendidikan untuk tempoh 1 Julai 2017 hingga 30 Jun 2019 pada 15 Mac 2017.

Sementara itu suspek lain telah direman sejak 6 April dan perintah tahanan reman terhadapnya akan tamat esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pasangan suami isteri berkenaan hari ini diwakili oleh peguam Shankar Ram.

Ketika ditemui setelah prosiding, Shankar berkata mahkamah melepaskan pasangan tersebut ekoran tiada alasan untuk mengaitkan mereka dengan kes atau siasatan.

Advertisement