Anda di sini

Penguatkuasaan undang-undang hidupan liar perlu diperkasakan

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

TAWAU: Penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dalam negara ini perlu diperkasakan untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, tanpa penguatkuasa yang ketat, undang-undang yang sedia ada hanyalah kekal dalam kertas sahaja.

"Hukuman yang adil tanpa memilih sepatutnya menjadi tuntutan yang tepat dalam perundangan Malaysia.

"Kesaksamaan dalam undang-undang seharusnya digunapakai kepada semua rakyat negara ini khususnya mereka yang dikehendaki melalui proses perundangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau yang juga Mantan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, undang-undang perlu dilaksanakan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Katanya, adalah penting untuk mematuhi peraturan dalam perundangan agar pesalah atau penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan melalui sistem perundangan negara ini.

Baru-baru ini Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan pesalah hidupan liar di negara ini khususnya pemburu haram akan didenda sehingga RM1 juta selepas undang-undang sedia ada dipinda dan diluluskan seterusnya dilaksanakan kerajaan.

Ketika ini, pesalah berkaitan termasuk pemburu haram hanya didenda sehingga RM500,000  atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Christina dalam pada itu, mengalu-alukan pengumuman itu menjelaskan, Pindaan berkenaan sudah diusahakan sejak 2019 dan diharapkan ianya dapat direalisasikan pada masa hadapan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, pindaan undang-undang itu harus juga boleh digunapakai di semua negeri termasuk Sabah agar boleh dijadikan benteng untuk melindungi hidupan liar daripada pemburu haram atau berkaitan.

Sementara itu katanya, masyarakat juga mempunyai hak untuk mengetahui keputusan siasatan berkaitan kes pemburu haram yang dikaitkan dengan seorang bekas Ahli Parlimen yang ditangkap pasukan penguatkuasaan.

Katanya, pesalah berkenaan dipercayai memburu dikawasan terlarang Maliau Basin.
 

  • oleh
  • Advertisement