Anda di sini

Masalah tunggakan gaji selesai: Khairul Firdaus 

Advertisement
FIRDAUS
FIRDAUS

KOTA KINABALU: Pihak Pengurusan Sabah FC menafikan kononnya berlaku kes tunggakan gaji tiga bulan seperti yang ditularkan dalam media sosial malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC,  Khairul Firdaus Akbar berkata, memang diakui berlakunya beberapa kelewatan pembayaran gaji, namun ianya tidak pernah tertunggak lebih dari satu bulan.

Katanya, dakwaan bahawa gaji pemain tertunggak sehingga tiga bulan adalah tidak benar sama sekali.

“Setakat ini tiada pemain yang melakukan boikot pada sesi latihan petang semalam...Latihan selesai awal manakala pemain diminta berehat sebelum terbang ke Pulau Pinang hari ini.

“Pihak pengurusan menyangkal dakwaan media ini...Ianya bukan datang daripada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan Sabah FC,” kata Firdaus dalam kenyataan medianya hari ini (Jumaat).

Firdaus menjawab laporan media tempatan semalam yang melaporkan sesi latihan skuad The Rhinos petang semalam terbatal dipercayai ada kaitan dengan isu gaji pemain yang dikatakan tertunggak tiga bulan.

Laporan yang memetik sumber dalam pasukan melaporkan bahawa, latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan kemudian dibatalkan.

Firdaus berkata, dalam tempoh tiga bulan pihak pengurusan baharu mengambil alih  mereka sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan Sabah FC dalam landasan terbaik.

Pihak pengurusan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.

“Kita mengesahkan di sini komunikasi di antara pengurusan serta pemain sangat baik..Pihak pengurusan yakin selepas ini semuanya akan berjalan dengan lancar sekaligus mengelak daripada masalah ini berulang di masa depan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement