Anda di sini

Maksimum 2,000 penonton dibenar berada di venue pertandingan

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan maksimum 2,000 penonton dibenarkan berada di dalam stadium atau venue bagi kejohanan sukan, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata langkah itu selaras dengan ketetapan diputuskan kerajaan Persekutuan dengan membenarkan kehadiran 10 peratus atau 2,000 penonton bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Keputusan ini dibuat setelah mendapat kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Sarawak di sini pada Khamis.

Terdahulu, JPBN memaklumkan PKPB di Sarawak yang sepatutnya berakhir 12 April dilanjutkan selama dua minggu lagi iaitu dari 13 hingga 26 April berikutan kes positif COVID-19 di negeri ini masih meningkat.

Abdul Karim berkata kementeriannya telah merancang sebanyak 56 program belia dan 41 program sukan sepanjang tahun ini, bagaimanapun hanya tujuh program sempat dilaksanakan setakat ini.

"Kita berharap baki program dapat dilaksanakan apabila keadaan kembali seperti sediakala," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata kementeriannya telah meluluskan 11 permohonan bagi mendapatkan bantuan pembiayaan di bawah Tabung Industri Kreatif Belia Sarawak (SYCIF) tahun ini melibatkan sejumlah RM220,200.

Menurutnya sepanjang tahun lepas, 26 permohonan diluluskan melibatkan bantuan bernilai RM661,733.65, sementara RM230,000 dikeluarkan daripada tabung itu pada 2019 untuk lima permohonan yang diluluskan.

Sejumlah RM9 juta diperuntukkan bagi memulakan SYCIF bertujuan membantu golongan belia di Sarawak dalam pengelolaan program berasaskan kesenian dan kebudayaan yang lebih kreatif dan inovatif, khususnya seni muzik, filem, drama dan teater, katanya. - BERNAMA

Advertisement