Anda di sini

Krisis Laut China Selatan: AS tegur langkah ‘agresif’ China terhadap Filipina dan Taiwan

Advertisement
 Gambar diambil pada 31 Mac lalu oleh pihak berkuasa Filipina menunjukkan kapal China di Terumbu Whitsun, 320 kilometer barat Pulau Palawan di Laut China Selatan. — Gambar AFP
DIPANTAU: Gambar diambil pada 31 Mac lalu oleh pihak berkuasa Filipina menunjukkan kapal China di Terumbu Whitsun, 320 kilometer barat Pulau Palawan di Laut China Selatan. — Gambar AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin memberi amaran kepada China untuk tidak melakukan apa yang didakwa oleh Filipina dan Taiwan sebagai langkah agresif, mengingatkan Beijing tentang tanggungjawab Washington kepada sekutunya.

“Satu serangan bersenjata ke atas pasukan bersenjata Filipina, kapal awam atau pesawat di Pasifik, termasuk di Laut China Selatan akan mendorong kami untuk me-laksanakan tanggungjawab kami di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama AS-Filipina,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price kepada wartawan.

“Kami berkongsi kerisauan dengan rakan kami di Filipina berkaitan pergerakan berterusan militia maritim China berhampiran Terumbu Whitsun,” kata Price.

Lebih 200 kapal dari China pertama kali dikesan di Terumbu Whitsun pada 7 Mac, sekitar 320 kilometer barat pulau Palawan di Laut China Selatan, walaupun kebanyakannya berselerak di sekitar Kepulauan Spratly.

China, dengan mendakwa memiliki hampir keseluru-han laut yang kaya de-ngan sumber itu, menolak berminggu-minggu rayuan oleh Filipina untuk mengundurkan kapal mereka, yang menurut Manila, memasuki zon ekonomi ekslusif mereka secara haram.

Ketegangan juga meningkat dengan Taiwan, yang Beijing dakwa masih sebahagian milik mereka dengan kerajaan demokrasi negara itu kelmarin melaporkan lebih 15 penerbangan dari tanah besar melepasi zon pertahanan udara kepulauan itu.

Price menyuarakan kebimbangan tentang langkah China dengan berkata: “AS mengekalkan ruang untuk mengelak sebarang tindakan ketenteraan dan tindakan agresif lain yang akan menjejaskan keselamatan atau sistem sosial dan ekonomi penduduk Taiwan.”

Beliau menggunakan bahasa dari Akta Perhubungan Taiwan, yang mana AS bertanggungjawab memberikan kepulauan itu sebarang bentuk pertahanan terhadap Beijing.

Presiden AS, Joe Biden, lebih lantang mempertahankan sekutunya dan mengekalkan pendirian tegas bekas presiden, Donald Trump terhadap China sebelum ini. — AFP

Advertisement