Anda di sini

Kejohanan Terbuka Perancis tahun ini dilewatkan seminggu

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan pemandangan malam pada satu perlawanan Terbuka Perancis pada 9 Oktober 2020 di Paris. — Gambar AFP
DILEWATKAN: Gambar fail menunjukkan pemandangan malam pada satu perlawanan Terbuka Perancis pada 9 Oktober 2020 di Paris. — Gambar AFP

PARIS: Kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Perancis tahun ini, akan dilewatkan selama seminggu dari jadual asal, menurut satu sumber yang rapat dengan penganjur pada Rabu.

Kejohanan di permukaan tanah liat itu dijadualkan bermula pada 23 Mei tetapi sekarang ia dijangka bermula pada 30 Mei dengan harapan lebih ramai penonton akan dapat dibenarkan hadir di Roland Garros.

Kejohanan tahun lepas ditangguhkan selama empat bulan dari jadual asal dan diadakan pada bulan September dan Oktober berbanding slot kebiasaan pada bulan Mei-Jun.

Penonton hanya dihadkan kepada 1,000 orang setiap hari.

Sekatan kawalan  pergerakan kerana COVID-19 diperketatkan di seluruh Perancis minggu lepas, walaupun semua sukan profesional dibenarkan diteruskan namun harus berlangsung tanpa penonton.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyuarakan harapan untuk membuka semula pawagam, muzium dan teater pada pertengahan bulan Mei.

Pada Selasa, kementerian sukan Perancis, memberitahu AFP bahawa kerajaan membincangkan satu kemungkinan penangguhan “beberapa hari”.

Pemain Perancis, Alize Cornet, menyelar menteri sukan, Roxana Maracineanu dan kerajaan Macron kerana penangguhan itu.

“Ia kekal di antara kami tetapi menteri sukan negara kami adalah satu mala petaka, maaf,” kata Cornet ketika memberitahu  Tennis Channel selepas kemenangan ke atas Elise Mertens di pusingan kedua kejohanan WTA di Charleston di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.,

“Maaf, saya tidak mempunyai masalah dengan beliau tetapi beliau hanya membuat keputusan buruk untuk sukan  seperti beliau tidak ambil peduli. Dan saya tahu ia datang dari kerajaan, itu yang pasti.

“Ia  mungkin juga datang dari penganjur kerana saya mendengar mereka mungkin akan dapat membenarkan lebih ramai penonton jika ditangguhkan seminggu.

“Apa pun, saya fikir ia masih keputusan pentingkan diri sendiri kerana kalendar tenis terjejas dengan penangguhan ini.”

Bulan lepas, Gilles Moretton, presiden baharu Persekutuan Tenis Perancis (FFT), berbakat beliau “tidak mahu” menimbangkan kemungkinan pembatalan kejohanan.

“Jika kami menjalani kawalan sepenuhnya  pergerakan selama dua bulan, kami sememangnya perlu mengambil langkah perlu – apa yang terburuk ialah membatalkan kejohanan tetapi saya tidak sanggup memikirkannya,” kata beliau.

Rafael Nadal akan mempertahankan kejuaraannya dalam bahagian lelaki sementara Iga Swiatek dari Poland akan mempertahankan kategori perseorangan wanita.

Tarikh baharu Terbuka Perancis tidak memberikan banyak kesan kepada musim di permukaan rumput, walaupun kejohanan persediaan Wimbledon bermula 7 Jun.

Akan ada hanya dua minggu ruang di antara final Terbuka Perancis dan bermulanya Wimbledon. — AFP

Advertisement