Anda di sini

Kaji semula keputusan tidak membenarkan Bazar Ramadan beroperasi

Advertisement
BEN CHONG
BEN CHONG

KUDAT:Keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan Bazaar Ramadan beroperasi sememangnya membawa kebaikan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 tetapi ia juga mendatangkan masalah besar kepada peniaga kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong berkata, keputusan yang dilakukan itu seharusnya perlu mempunyai situasi menang-menang dan tidak menyusahkan rakyat.

Ben mempersoalkan keputusan kerajaan negeri mengenai Bazar Ramadan tetapi akur pula dengan keputusan kerajaan Pusat untuk membenarkan pasar mingguan serta pasar malam beroperasi.

"Mungkin kerajaan negeri hari ini tidak berani untuk membantah keputusan dibuat kerajaan Pusat. Apa beza pasar malam dengan Bazar Ramadan?.

"Kedua-duanya memang sesak dengan pelanggan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sememangnya gagal dipatuhi.

"Ini bermakna jangkitan COVID-19 boleh berlaku di pasar malam walaupun hanya dibenarkan beroperasi seminggu sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, alasan yang diberikan bagi membenarkan pasar malam beroperasi adalah untuk menjana ekonomi peniaga kecil.

Katanya, perkara yang sama juga dengan Bazaar Ramadan kerana ramai yang berniaga adalah peniaga kecil yang ingin  menjana pendapatan untuk kelangsungan hidup.

"Isunya ialah kerajaan negeri gagal berfikir bagaimana supaya umat Islam yang berpuasa tidak sukar untuk mendapatkan juadah berbuka. 

"Ramai kalangan suri rumah kerana tuntutan kerja tidak sempat memasak dirumah tentu sekali pilihan adalah Bazaar Ramadan.

"Bagaimana dengan Hari Raya adakah Umat Islam tidak dibenarkan membeli makanan untuk menyambut perayaan berkenaan?," katanya.

Katanya, satu pendekatan menang-menang perlu diwujudkan. Beliau mencadangkan agar cara penggiliran atau mengehadkan bilangan penjaja Bazar Ramadan dengan kawalan SOP ketat perlu dilaksanakan.

"Ia penting agar aktiviti ekonomi terus berjalan, kawal pelanggan dengan memastikan SOP dipatuhi secara berkesan dalam tempoh bulan puasa ini.

"Bazar Ramadan seharusnya dibenarkan beroperasi, mengapa restoran dan pusat aktiviti lain dibenarkan beroperasi. Sudah pasti peniaga kecil akan rugi," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement