Anda di sini

Julung kalinya program Town Hall JPM bersama media di Sabah diadakan

Advertisement
 Sallehhuddin (kiri) dalam sesi berkenalan dengan pengamal media di sini
MESRA: Sallehhuddin (kiri) dalam sesi berkenalan dengan pengamal media di sini

KOTA KINABALU: Program Town Hall Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bersama Media di Sabah ini julung kali diadakan dihadiri oleh 90 jemputan termasuk media tempatan Sabah pada hari ini.

Program berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan. Hadir sama ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Objektif utama program ini diadakan adalah bagi mengukuhkan jaringan komunikasi dan engagement JPM bersama media-media tempatan di Sabah dalam bertukar-tukar pendapat dan pandangan.

Antara objektif lain sesi ini bagi membina hubungan dan kerjasama yang lebih harmoni dan terbuka antara pihak media dan agensi-agensi dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Dalam majlis yang sama, taklimat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) turut diadakan dan disampaikan oleh pegawai dari Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) berkaitan kerangka hala tuju baharu negara menjelang tahun 2030.

Tiga objektif WKB 2030 antaranya adalah menstruktur semula ekonomi ke arah yang lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat. 

Kedua, menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan.

Ketiga, menjadikan Malaysia sebuah negara bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

Program ini juga turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) Datuk Seri Hashim Paijan.
 

  • oleh
  • Advertisement