Anda di sini

Jajaran Bongawan - Papar sumbang jaringan infrastruktur efisien

Advertisement
 Bung (kanan) dan Limus (kiri) mengiring Fadillah dalam sidang media.
SIDANG MEDIA: Bung (kanan) dan Limus (kiri) mengiring Fadillah dalam sidang media.

PAPAR:   Pembinaan jajaran Bongawan-Papar bakal menyumbang kepada jaringan infrastruktur yang efisien.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof, penaiktarafan jajaran tersebut juga akan menambahbaik akses jalan raya yang menghubungkan Bongawan dan beberapa lokasi lain.

“Pembinaan jajaran Bongawan-Papar akan meningkatkan jaringan jalanraya yang efisien terutamanya kepada komuniti di daerah Papar dan kawasan sekitarnya. 

“Di samping itu, pembinaan jajaran Bongawan-Papar juga akan menyumbang kepada kewujudan peluang pekerjaan serta pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi terutamanya industri eko-pelancongan di kawasan Bongawan, Kimanis dan Papar,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke tapak Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej Kerja (WP 04) Bongawan-Papar dekat Kimanis, semalam.

Jelas Fadillah, susulan penamatan Rakan Pelaksana Projek pada 22 September 2019, kerajaan giat meneruskan agenda pembinaan lebuhraya itu melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

“Sebagai Pegawai Penguasa, JKR Sabah bertanggungjawab melaksanakan 11 Pakej Kerja (WP) jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah termasuk Pakej Kerja (WP 04) Bongawan-Papar.

“Pakej kerja ini melibatkan kerja-kerja naiktaraf jalan sedia ada kepada dua lorong sehala (two-lane single carriageway) piawaian Arahan Teknik Jalan JKR (R5) bermula daripada Bongawan ke Simpang Benoni, Papar sepanjang 22.6 km. 

“Sehingga Mac 2021, status kemajuan pelaksanaan jajaran Bongawan-Papar adalah 48 peratus,” ujar beliau.

Tambahnya, ke arah menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang efisien, komitmen turut diberikan kepada pelaksanaan tiga pakej kerja baharu dan satu lagi pakej kerja melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak sebelum ini.

Selain itu, kerajaan turut meluluskan satu lagi pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru dengan kos sebanyak RM513 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dijangka akan mula dilaksanakan pada suku ketiga 20, sekaligus menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja diteruskan pelaksanaannya pada ketika ini. 

Dedah beliau, secara keseluruhan, status kemajuan pembinaan bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sehingga Mac 2021 bagi 11 pakej kerja yang telah dimulakan adalah 49 peratus. 

Bagi menambahbaik kaedah konvensional sedia ada, kata Fadillah, pelantikan Project Management Consultant  (PMC), Independent Consultant Engineer (ICE) dan Perunding Teknologi Maklumat (ICT) akan turut dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek lebuhraya berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Sri Bung Moktar Radin, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Juri, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal dan Ahli Parlimen, Datuk Mohamad Alamin.

  • oleh
  • Advertisement