Anda di sini

Inter hampiri kejuaraan Serie A Itali dengan kelebihan 11 mata di puncak

Advertisement
 Lukaku (kanan) meraikan gol jaringannya dengan rakan sepasukan Lautaro Martinez  pada perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan dan Sassuolo di Stadium San Siro, Milan. — Gambar AFP
UNGGUL: Lukaku (kanan) meraikan gol jaringannya dengan rakan sepasukan Lautaro Martinez pada perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan dan Sassuolo di Stadium San Siro, Milan. — Gambar AFP

MILAN: Romelu Lukaku membantu Inter Milan menghampiri kejuaraan Serie A Itali yang pertama dalam lebih dari satu dekad apabila menjaringkan gol dan mengumpan gol Lautaro Martinez ketika menewaskan Sassuolo 2-1 pada Selasa, sekali gus meletakkan pasukannya dengan kelebihan 11 mata di singgahsana liga.

Juventus kurang 12 mata di belakang Inter di tangga ketiga selepas menewaskan Napoli 2-1 dengan Paul Dybala menjaringkan gol selepas berehat hampir tiga bulan dan penjaring terbanyak liga, Cristiano Ronaldo, juga menjaringkan gol.

Kedua-dua perlawanan ini dijadualkan semula selepas penularan COVID-19 di Inter bulan lepas dan di Napoli pada awal bulan Oktober.

Lukaku menanduk hantaran lintang Ashley Young untuk gol liga ke-21 beliau musim ini pada minit ke-10 perlawanan di San Siro dan kemudian mengumpan bola kepada Lautaro pada pertengahan separuh masa kedua.

Hamed Junior Traore merapatkan kedudukan buat pasukan pelawat ketika berbaki lima minit permainan sebelum Inter meraih kemenangan liga ke-10 berturut-turut untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas.

Skuad kendalian Antonio Conte itu di landasan memenangi kejuaraan liga yang ke-19 mereka tetapi kejuaraan yang pertama sejak 2010.

“Masih ada sembilan perlawanan lagi dan setiap perlawanan bernilai enam mata,” kata Conte.

“Kami cuba  melakukan sesuatu yang baik untuk bandar raya ini, yang belum meraih kejuaraan sejak satu dekad.

Peluang Juventus memenangi kejuaraan buat kali ke-10 terjejas apabila hanya mengutip satu mata dari dua perlawanan terakhir walaupun menentang lawan dari bawahan liga – Benevento dan Torino.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Napoli adalah penting untuk cita-cita mereka dalam Liga Juara-Juara musim hadapan dengan kedua-dua pasukan berkongsi mata di tangga keempat sebelum perlawanan.

Juventus beraksi tanpa Leonardo Bonucci dan Federico Bernardeschi, yang diuji positif COVID-19 selepas bermain bersama skuad kebangsaan Itali.

Dybala bermula di bangku simpanan, selepas digugurkan pada perlawanan menentang Torino minggu lepas kerana melanggar peraturan sekatan kawalan pergerakan bersama-sama Weston McKennie dan Arthur Melo.

Ronaldo terlepas peluang awal untuk meletakkan Juventus pada minit kedua apabila tandukannya tersasar sebelum cubaan pemain Napoli, Piotr Zielinski juga tersasar.

 Tetapi pergerakan cantik Federico Chiesa membolehkan Ronaldo menjaringkan gol liga ke-25 beliau pada minit ke-13 selepas melepasi dua pemain pertahanan Napoli sebelum melorong bola kepada Ronaldo.

Dybala dimasukkan bersama-sama McKennie pada 20 minit terakhir dan beliau memberikan impak segera apabila menjaringkan gol kedua dari umpanan Rodrigo Bentancur empat minit kemudian.

Lorenzo Insigne merapatkan kedudukan untuk Napoli dari tendangan penalti.

Kemenangan membolehkan Juventus memintas Atalanta ke tangga ketiga liga dengan kedua-dua pasukan akan bertemu di Bergamo minggu hadapan sementara Inter bertandang ke Napoli. — AFP

Advertisement