Anda di sini

Imbau nostalgia dengan konsert mini ‘Showcase Lejen Ria’

Advertisement
 

PROGRAM ‘Showcase Lejen Ria’ adalah sebuah program hiburan berkonsepkan konsert mini eksklusif bersama penyanyi legenda dalam industri muzik tanah air yang akan menghiburkan penonton dengan koleksi lagu popular masing-masing sekaligus bakal mengimbau nostalgia untuk setiap lagu yang pernah menjadi siulan ramai suatu masa dahulu.

Lima penghibur ikonik dengan latar belakang genre muzik yang berbeza iaitu Kumpulan Wings, Zamani & Ameng, Ella dan Anuar Zain bakal menggegarkan malam hujung minggu  menerusi empat buah konsert mini yang akan berlangsung selama 90 minit dari Studio 1, Astro Bukit Jalil.

Konsert mingguan eksklusif ‘Showcase Lejen Ria’ ini dikendalikan sepenuhnya oleh selebriti versatil, Dato’ AC Mizal selaku hos program yang akan mendalami perjalanan kembara seni serta pencapaian cemerlang barisan artis jemputan sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik.

Selain itu, pelbagai perkongsian pahit manis dan pengalaman berharga yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini akan turut dicungkil menerusi program ini.

Rakaman program ‘Showcase Lejen Ria’ ini bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kumpulan Wings membuka gelanggang episod pertama program ‘Showcase Lejen Ria’ kemudian disusuli dengan penampilan istimewa Zamani & Ameng untuk episod kedua. Ratu Rock Negara, Ella pula beraksi di episod ketiga manakala penyanyi terkenal Anuar Zain pula akan melabuhkan tirai program ini menerusi episod keempat pada Ahad ini.

 Kumpulan Wings menghiburkan para peminat dengan persembahan ‘reunion’ daripada Dato’ Awie, Mel dan Muss. Antara barisan lagu hits yang dipersembahkan termasuklah ‘Bernafas Dalam Lumpur’, ‘Opera Hidup’, ‘Peronda Jaket Biru’, ‘Taman Rashidah Utama’ dan banyak lagi.
EPISOD PERTAMA: Kumpulan Wings menghiburkan para peminat dengan persembahan ‘reunion’ daripada Dato’ Awie, Mel dan Muss. Antara barisan lagu hits yang dipersembahkan termasuklah ‘Bernafas Dalam Lumpur’, ‘Opera Hidup’, ‘Peronda Jaket Biru’, ‘Taman Rashidah Utama’ dan banyak lagi.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, “Seperti yang kita tahu, landskap industri seni sudah banyak berubah sejak dilanda krisis pandemik lebih kurang setahun yang lalu. Perubahan mendadak terhadap norma kehidupan, kekangan SOP serta risiko penyebaran COVID-19 itu sendiri menjadi cabaran utama dalam menghasilkan program-program hiburan seperti penganjuran konsert, program realiti, majlis penganugerahan dan sebagainya yang lazimnya diadakan dalam  skala besar serta memerlukan tenaga kerja yang ramai.

”Selaku peneraju utama industri kandungan, kami mengambil cabaran ini untuk terus bergerak secara agresif dalam menghasilkan karya-karya kreatif  bagi memastikan para pelanggan Astro kekal terhibur bersama kami di saat-saat sukar ini. Terbaharu, kami bawakan konsert mini eksklusif ‘Showcase Lejen Ria’ yang menampilkan legenda tersohor tanah air untuk menggegarkan malam minggu anda.

”Konsep sebegini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu di platform Astro Ria kerana sebelum ini kami sudahpun mempunyai pengalaman yang luas dalam menerbitkan program dengan format yang seakan sama seperti ‘Dari Studio 1’, ‘Stage 104’ dan sebagainya.

“Pemilihan Dato’ AC Mizal sebagai hos juga tepat kerana beliau mempunyai personaliti yang ceria, senang didampingi dan paling penting mempunyai sifat humor yang disukai penonton. Karakter beliau ini juga mampu membuatkan rakan artis berasa lebih selesa dan tidak segan untuk berkongsi cerita secara eksklusif dalam ‘Showcase Lejen Ria’.

“Semoga program ini mampu mengubat kerinduan para peminat kepada artis-artis legenda kesayangan mereka.”

Advertisement