Anda di sini

Cubaan seludup 10 tong LPG gagal

Advertisement
 Suspek dan barang rampasan dibawa ke pangkalan Marin untuk tindkan selanjutnya.
SUSPEK : Suspek dan barang rampasan dibawa ke pangkalan Marin untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU : Cubaan nekad seorang warga emas menyeludup keluar sepuluh tong gas cecair petroleum (LPG) membawa padah selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan laut Sungai Haji Kuning, di sini.

Suspek yang juga juragan bot laju berumur 75 tahun warga tempatan itu ditahan anggota PPM yang sedang menjalankan tugas Op Benteng COVID-19 di kawasan berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata anggotanya mengesan bot suspek yang sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Sungai Haji Kuning.

"Anggota PPM yang mengesyaki bot terbabit membawa barang salah bertindak mengejar dan berjaya menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut,"katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit berjaya menemui sepuluh tong gas LPG yang disembunyikan di ruang bot berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Bagaimanapun, juragan terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas semua barang kawalan dibawanya.

"Suspek bersama bot laju dan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM24,600 kemudiannya dirampas dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kes dirujuk ke KPDNHEP cawangan Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement