Anda di sini

COVID-19: 555 kes baharu, tiga kematian di Sarawak

Advertisement
Uggah ditemani Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada sidang media COVID-19.
Uggah ditemani Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada sidang media COVID-19.

KUCHING: Sarawak merekodkan jumlah tertinggi kes positif baharu COVID-19 di Malaysia yang menyaksikan 555 kes dengan tiga kematian dicatatkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkatkan kepada 19,262 kes.

"Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Sibu (115), Bintulu (112), Miri (70), Kapit (61), Meradong (57), Mukah (46), Kuching (29), Sarikei (12), Beluru (8), Subis (8), Sri Aman (7), Julau (7), Asajaya (4), Samarahan (3), Saratok (3), Selangau (2), Bukit Mabong (2), Tatau (2), Belaga (1), Betong (1), Song (1), Limbang (1), Bau (1), Serian (1), dan Sebauh (1).

"Memandangkan kes yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan, anggaplah ini sebagai satu amaran kepada kita. 

"Selagi kita tidak mematuhi SOP, selagi itulah kes di Sarawak semakin meningkat dan ini akan membawa implikasi yang besar kepada kita kerana rakyat tidak 
dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala," katanya pada sidang media harian COVID-19 di DUN lama di sini hari ini. 

Mengulas lanjut kes positif itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, daripada jumlah itu seramai 117 orang atau 21.08 peratus mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.

Jelasnya, secara ringkas kes-kes ini terdiri daripada, 292 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 (69 orang bergejala) di pusat kuarantin dan 124 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (tiada orang bergejala, pusat kuarantin). 

Tambahnya, 95 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan (lima orang bergejala), 43 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan satu kes melibatkan individu yang datang atau balik dari luar negara iaitu dari Equitorial Guinea (kes Import A) (kes tidak bergejala) di pusat kuarantin. 

Tiga Kes kematian pula, beliau memberitahu, ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 120 orang. 

"Kes kematian ke-118 merupakan kes ke-18,504 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 68 tahun yang ditemui oleh ahli keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah. 

"Kes ini telah dibawa ke Hospital Bintulu oleh ahli keluarga, namun kes disahkan meninggal dunia pada 5 April 2021 dan saringan ujian rT-PCR adalah positif pada 7 April 2021 yang mana kes mempunyai komorbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia," ujarnya. 

Menurut beliau lagi, manakala kes kematian ke-119 merupakan kes ke-16,473 melibatkan seorang lelaki warganegara Filipina berumur 43 tahun yang ditemui oleh rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sebauh. 

Namun katanya, kes disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2021 dan saringan ujian rT-PCR COVID-19 adalah positif pada 31 Mac 2021 yang mana kes ini tidak mempunyai ko-morbid.

"Kes kematian ke-120 merupakan kes ke-17,102 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 42 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami masalah sesak nafas. 

"Kes juga mempunyai gejala batuk dan demam, saringan ujian rt-PCR telah dibuat dan dikesan positif pada 2 April 2021, keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 8 April 2021," kata Uggah sambil menambah kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Sehubungan itu, beliau mewakili JPBNS mengucapkan ucapan Takziah kepada semua ahli keluarga mangsa.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat 263 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital Bintulu (84), Hospital Sibu (64), Hospital Miri (50), Hospital Umum Sarawak (29), PKRC Serian (8), Hospital Sarikei (19), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (4), PKRC di bawah Hospital Mukah (2), PKRC Betong (2) dan PKRC DI Semuja (1).

Manakala, 598 orang yang disyaki (PUI) baru telah dilaporkan dan tiga PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

"Sekali lagi saya ingin menyeru kepada orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP yang telah dikeluarkan, jangan leka untuk memakai pelitup 
muka dan pastikan penjarakan fizikal diamalkan," tegasnya. 

  • oleh
  • Advertisement