Anda di sini

UCTS diberi tanggungjawab kaji khazanah negeri

Advertisement
 Dr Annuar (tengah) menyaksikan upacara pertukaran dokumen di antara UCTS dan Persatuan Muzium Memorial Hospital Lau King Howe di Sibu, semalam.
TERMETERAI: Dr Annuar (tengah) menyaksikan upacara pertukaran dokumen di antara UCTS dan Persatuan Muzium Memorial Hospital Lau King Howe di Sibu, semalam.

SIBU: Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) diberi masa kira-kira enam bulan bagi menyiapkan kajian serta kertas kerja bagi memulihara bangunan Muzium Memorial Hospital Lau King Howe.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata, sebanyak RM50,000 disalurkan sebagai peruntukan awal bagi tujuan tersebut.

Katanya, Muzium Memorial Hospital Lau King Howe wajar terus dipelihara kerana ia salah satu khazanah terpenting di negeri ini.

“Bukan sahaja di Sarawak, Muzium Memorial Hospital Lau King Howe merupakan satu-satunya muzium hospital yang terdapat di negara ini.

“Selain itu, muzium ini harus dipelihara kerana ia merupakan salah satu ikon atau destinasi yang mampu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar Sibu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Persatuan Muzium Memorial Hospital Lau King Howe dan UCTS semalam.

Menurut Dr Annuar, sebahagian besar bangunan hospital berkenaan yang berusia hampir 100 tahun telah dirobohkan dan kini hanya tinggal satu bahagian bangunan yang agak kecil.

Katanya, tindakan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan tersebut.

“Jadi saya serahkan kepada pakar (UCTS) untuk mengikhtiarkan cara untuk memulihara bangunan muzium ini.

“Apabila kertas cadangan pemuliharaan siap kelak, saya akan sampaikan kepada kerajaan negeri selain mendapatkan sejumlah peruntukan,” ujar beliau.

Jelas Dr Annuar, ramai penduduk negeri ini lahir di hospital tersebut dan antara lain sebab mengapa bangunan muzium ini harus dipelihara supaya ia dapat menjadi suatu kebanggaan masyarakat bukan sahaja di Sibu tetapi juga di seluruh Sarawak.

Sementara itu Pengerusi Muzium Memorial Hospital Lau King Howe Temenggung Datuk Vincent Lau berkata, setiap tahun purata pengunjung muzium tersebut sejak dibuka kepada orang ramai pada 2008 ialah kira-kira 8,000 orang.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 3,398 pengunjung adalah dari luar daerah Sibu.

“Pada bulan Mei tahun lepas, selepas ditutup akibat pandemik COVID-19, bilangan pengunjung yang datang ialah kira-kira 1,777 orang sebelum ditutup semula susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Senator Robert Lau Hui Yew dan Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.

  • oleh
  • Advertisement