Anda di sini

Tangki air rosak di loji Limpaku Pinang perlu dibaiki, dinaik taraf

Advertisement
 (Dari tiga kiri) Superi dan Hasbi serta yang lain ketika melawat Loji Rawatan Air Kampung Limpaku Pinang, Limbang, baru-baru ini.
NAIK TARAF: (Dari tiga kiri) Superi dan Hasbi serta yang lain ketika melawat Loji Rawatan Air Kampung Limpaku Pinang, Limbang, baru-baru ini.

LIMBANG: Kerajaan negeri melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diminta menaik taraf tujuh lagi tangki air yang rosak di Loji Rawatan Air Kampung Limpaku Pinang bagi memastikan masalah gangguan bekalan air di kampung itu tidak berterusan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, hanya dua tangki yang menampung bekalan air bagi kampung pesisir laut itu sedang dibaiki jabatan itu.

Jelasnya, sistem loji rawatan air terawat di kampung itu bukan projek baharu tetapi sudah bermula pada 2010 untuk membina tangki air aras tinggi dan sistem rawatan menggunakan klorin yang dijana melalui kuasa sistem solar.

“Permasalahan yang dihadapi sekarang melibatkan kerosakan tujuh lagi tangki yang digunakan untuk menyimpan sumber bekalan air bagi menampung keperluan penduduk di kawasan itu.

“Tender sudah dibuka untuk kontraktor membaiki semula kerosakan melibatkan hanya dua tangki,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke loji rawatan air terawat di Kampung Limpaku Pinang baru-baru ini.

Mengiringi beliau ialah Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Ketua Kampung Simatziman Sapar.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata lagi, oleh itu kerajaan negeri melalui JBALB perlu menaik taraf tujuh lagi tangki air yang digunakan di kampung itu.

Jelasnya, Limpaku Pinang berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan domestik di daerah berkenaan.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri pada lawatannya ke Limbang Mac lalu.

Selain menawarkan keindahan semula jadi dan aktiviti harian nelayan oleh penduduk setempat, Kampung Limpaku Pinang berpotensi tinggi dijadikan sebagai antara produk pelancongan berdasarkan kedudukannya yang strategik di Kuala Limbang iaitu kawasan Teluk Brunei.

Hasbi berkata, banyak lagi projek pembangunan dilaksanakan di kampung itu khususnya melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bagi menghubungkan kampung itu dan Kampung Bulantak yang pada masa ini hanya melalui jalan sungai yang mengambil masa 30 minit perjalanan.

Advertisement