Anda di sini

Syamel & Ernie keluarkan single ‘Goodbye Hello’

Advertisement
 Pengantin baharu Syamel dan Ernie Zakri muncul dengan single romantis ‘Goodbye Hello’ terbitan Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Faithful Music.
SINGLE BAHARU: Pengantin baharu Syamel dan Ernie Zakri muncul dengan single romantis ‘Goodbye Hello’ terbitan Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Faithful Music.

PASANGAN selebriti yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan baru-baru ini, Syamel dan Ernie Zakri, muncul dengan single terbaharu yang romantis berjudul ‘Goodbye Hello’ terbitan Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Faithful Music.

Menurut Syamel, ‘Goodbye Hello’ adalah hadiah terbaru daripada mereka berdua buat peminat setelah mendirikan rumah tangga.

Lagu single itu mengenai pasangan kekasih yang tidak akan berpisah selama-lamanya, di mana perkataan ‘Goodbye’ yang sering kita ucapkan ketika hendak berlalu, kemudiannya dibalas dengan ‘Hello’, menggambarkan kemanisan sebuah perhubungan yang tidak akan terlerai kerana ikatan janji yang telah termeterai.

Menurut Ernie, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) baru-baru ini, idea merakamkan single ‘Goodbye Hello’ datangnya daripada Faizal Tahir dan Mike Chan.

“Kedua-dua nama besar ini menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi dengan kami, dan menurut mereka ia hanya boleh direalisasikan oleh kami berdua,” katanya.

“Setelah mendengar demo yang diberikan, kami terus terpaut dengan melodi pop moden yang santai dan romantis yang dicipta, selain itu kami juga diberi ruang untuk menulis lirik bersama bagi melengkapkan lagu tersebut.

“Ia amat berlainan dengan lagu-lagu duet kami terdahulu seperti ‘Aku Cinta’ dan ‘Takkan Terlerai’ dari segi genre, lirik dan mood yang memerlukan penghayatan lebih berat, manakala dengan ‘Goodbye Hello’ pula ia membangkitkan perasaan indah dan ceria buat pasangan kekasih atau suami isteri,” tambah Ernie.

Proses pembikinan single ‘Goodbye Hello’ yang memakan masa selama dua hari untuk disiapkan telah berlangsung ketika negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ernie menambah, “Proses penghasilan single tersebut berlangsung tiga hari sebelum mereka bernikah. Jadi bayangkanlah betapa bergegasnya kami mengejar masa, akan tetapi semuanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah.

“Selain itu, rezeki turut menyebelahi kami apabila Syamel dan saya dipelawa untuk membintangi drama komedi bersiri 13 episod bertajuk ‘Kalau Dah Berbini’ yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan ini di saluran Astro Warna,” katanya.

Ujar Syamel, “Kami berharap agar peminat dapat menerima single ‘Goodbye Hello’ dengan baik kerana ia bukanlah lagu ‘power ballad’ yang pernah kami bawakan sebelum ini, semoga semua berasa gembira dan terawang-awang mendengarnya.”

Lagu ‘Goodbye Hello’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Advertisement