Anda di sini

Sebuah kenderaan dicuri setiap 1 jam 15 minit di Malaysia

Advertisement
Dev ketika melawat ke ruang pameran pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM V-TREC 2021 di sini, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan dicuri setiap satu jam 15 minit di negara ini, kata Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) Mas Tina Abdul Hamid hari ini.

Beliau berkata menurut kajian pihaknya tahun lalu berdasarkan dapatan itu, sejumlah 20 kenderaan dicuri setiap hari pada tahun 2020.

"Namun jumlah kecurian kenderaan itu telah menurun berikutan kerjasama erat VTREC, Polis Diraja Malaysia dan agensi lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC 2021 di sini hari ini. 

Sementara itu Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Dev Kumar berkata kes kecurian kenderaan seluruh negara dilaporkan kepada polis telah menunjukkan trend penurunan setiap tahun. 

"Sebanyak 21,578 kes kecurian kenderaan dilaporkan pada tahun lepas berbanding 2019 sebanyak 30,868 kes iaitu keseluruhan penurunan sebanyak 30 peratus,” katanya.

Dev berkata kes melibatkan 4,596 kecurian kereta; 16,057 kecurian motosikal manakala 925 melibatkan kenderaan jenis lori, van dan jentera berat.

Sementara itu sejumlah 1,215 ahli sindiket curi kenderaan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sejak tahun 2016.

Dev berkata jumlah berkenaan bagaimanapun tidak termasuk jumlah ahli sindiket yang dituduh di mahkamah atas melakukan kesalahan sama.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan 753 ahli sindiket mencuri motosikal, 422 sindiket curi kereta dan selebihnya melibatkan kenderaan lain.

Dalam perkembangan lain mengenai Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang dikatakan mengendalikan aktiviti buang sampah, sisa toksik, edar dadah dan seludup pendatang tanpa izin di Pandamaran, Klang, Dev berkata siasatan polis berhubung isu itu masih di peringkat awal dan maklumat lanjut sedang dikumpulkan. 

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kemunculan semula kumpulan itu.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 itu dilaporkan dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap itu antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor. - Bernama 

Advertisement