Anda di sini

Penduduk kampung tidak digalak mendirikan gerai Ramadan di kawasan kediaman - Dr Abdul Rahman

Advertisement
Dr Abdul Rahman bercakap kepada pemberita dan turut kelihatan Datuk Bandar DBKU, Datu Junaidi Reduan.
Dr Abdul Rahman bercakap kepada pemberita dan turut kelihatan Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.

KUCHING: Penduduk kampung tidak digalakkan untuk mendirikan gerai Ramadan di kawasan kediaman masing-masing susulan situasi COVID-19 di negeri ini, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu berkata, meskipun pihak berkuasa tidak melarang mereka berbuat berbuat demikian, namun mereka perlu mengelak bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya memahami mungkin ada penduduk kampung yang menjual barangan Ramadan untuk menjana pendapatan, asalkan ia tidak menarik terlalu ramai orang.

"Namun begitu, mereka harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti menyediakan kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka dan pensanitasi tangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan tapak projek di kawasan pentadbiran DBKU di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman maklum bahawa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah membatalkan bazar Ramadan di kawasan tadbiran masing-masing ekoran daripada peningkatan kes COVID-19.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah memutuskan tidak membenarkan sebarang penganjuran aktiviti berbuka puasa di masjid atau surau semasa bulan Ramadan yang boleh mendatangkan risiko jangkitan wabak.

Katanya, jawatankuasa masjid atau surau boleh mengagihkan bantuan makanan kepada keluarga atau individu yang memerlukan tetapi makan di tempat tersebut tidak akan dibenarkan.

"Hanya 200 orang yang dibenarkan semasa solat atau separuh dari kapasiti premis. Masjid dan surau akan dibuka pada pukul 4 pagi dan ditutup pada pukul 10.30 malam," tambahnya.

Advertisement