Anda di sini

Nama Stadium Maracana dikekalkan

Advertisement
 Gambar fail ini menunjukkan pemandangan dari udara Stadium Maracana di Rio de Janeiro, Brazil. — Gambar AFP
TERSERGAM: Gambar fail ini menunjukkan pemandangan dari udara Stadium Maracana di Rio de Janeiro, Brazil. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Ahli perundangan negeri Rio de Janeiro, pada Selasa menarik balik pelan untuk menamakan semula Stadium Maracana kepada nama bintang bola sepak legenda dunia, Pele, selepas cadangan itu membangkitkan kontroversi.

Dalam satu langkah luar biasa, speaker perundangan negeri, Andre Ceciliano, yang juga menaja usul itu, meminta gabenor sementara Rio, Claudio Castro untuk membatal usul berbanding menandatangani pengesahannya.

Selepas ahli parlimen mengundi pada 9 Mac untuk mengubah nama rasmi stadium kepada “Edson Arantes do Nascimento – Rei Pele” untuk menghargai sumbangan pemenang tiga trofi Piala Dunia dari Brazil itu, pengkritik mempersoalkan kenapa mereka menghabiskan masa untuk perkara seperti itu ketika negara dilanda krisis kesihatan dengan Brazil adalah antara negara terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

“Hasrat saya ialah untuk memberikan penghargaan kepada raja bola sepak, pemain terbaik sepanjang zaman. Tetapi (stadium) Maracana akan sentiasa digelar Maracana,” kata Ceciliano dari Parti  Pekerja (PT) berhaluan kiri.

Ada juga perbalahan tentang nasib nama semasa stadium, “Jornalista Mario Filho,” untuk seorang wartawan Brazil dan penulis sukan yang mendapat penghargaan kerana membantu memberikan bola sepak menjadi seperti satu agama di negara itu.

Usul mengekalkan nama Filho untuk kompleks sukan mengelilingi stadium, yang turut termasuk venue untuk sukan gimnastik dan olahraga.

Tetapi keluarga Filho dan mereka yang mengaguminya tidak mahukan pertukaran nama itu.

Stadium Maracana, yang mengambil nama tidak rasmi dari kawasan kejiranan di sekelilingnya, menjadi venue untuk perlawanan bersejarah termasuk final Piala Dunia 1950 dan 2014 dan juga venue untuk upacara perasmian dan penutupan Sukan Olimpik 2016.

Ia juga stadium tuan rumah untuk dua kelab bola sepak tempatan, Flumeninse dan juara bertahan, Flamengo.

Tetapi stadium dengan 78,000 tempat duduk itu juga diselubungi trauma untuk rakyat Brazil.

Ia dibuka pada 1950 untuk Piala Dunia, dengan Brazil tewas 1-2 di final kepada Uruguay – satu perlawanan  yang masih diingati sebagai “Maracanaco”, yang diterjemahkan sebagai “pukulan maut Maracana.”

Pele mendapat penghargaan kerana mengembalikan maruah bola sepak Brazil.

Sekarang, pada usia 80 tahun, Pele jarang tampil di khalayak ramai. Beliau tidak terlibat dalam usaha untuk mengubah nama stadium itu. — AFP

Advertisement