Anda di sini

Lelaki mengaku tak bersalah tipu bina kubur

Advertisement
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding.
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding, hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menipu seorang balu yang hendak membina binaan kubur untuk mendiang suaminya, sehingga mengalami kerugian RM8,000. 

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Sim Han Chung, 32, sejurus dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan deposit RM2,500 tunai berserta seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 4 Mei depan sebagai pengurusan kes. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu mangsa berusia 60 tahun itu dengan memperdaya mangsa bahawa dia boleh membina binaan kubur untuk mendiang suaminya.

Sehubungan itu, tertuduh secara tidak jujur ​​mendorong mangsa untuk membuat pembayaran RM4,000 melalui perbankan dalam talian milik anak perempuan mangsa.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukannnya pada 31 Disember 2020, jam lebih kurang 2.18 petang di Kampung Stampin Iban, off Jalan BDC di sini. 

Tertuduh sekali lagi mengulangi perbuatan sama pada keesokan harinya iaitu 1 Januari 2021, jam lebih kurang 6 petang di tempat yang sama, membabitkan wang RM4,000. 

Difahamkan, mangsa membuat laporan polis setelah tertuduh menghilangkan diri setelah menerima wang tersebut sebelum perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini. 

Suami mangsa dikatakan meninggal dunia lebih kurang dua tahun lepas pada usia 63 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Lian Kee. 

  • oleh
  • Advertisement