Anda di sini

Kafe beroperasi lebih masa, 31 pelanggan antara dikenakan kompaun di Sibu

Advertisement
Pasukan pemantau menyerbu kafe yang beroperasi selepas jam 10 malam.
Pasukan pemantau menyerbu kafe yang masih beroperasi selepas jam 10 malam.

SIBU: Seramai 31 pelanggan, lapan pekerja dan seorang pemilik premis dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM68,500 kerana melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kafe di Jalan Aman pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata pemilik kafe terbabit dikenakan kompaun RM10,000 sementara lapan pekerja dan 31 pelanggan berusia antara 16  hingga 55 tahun masing-masing dikompaun RM1,500.

"Di bawah peraturan PKPB, semua perniagaan mesti ditutup pada jam 10 malam.  Namun kafe itu masih dibuka pada jam 10.45 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketika pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) bersepadu yang membuat pemeriksaan, premis itu didapati beroperasi melebihi tempoh masa pada jam 10.45 malam.

Katanya, pemeriksaan diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu DSP Ariffin Bahar itu disertai oleh tiga anggota polis dan lapan pegawai Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

"Semasa pemeriksaan, pasukan pemantau mendapati kafe itu dipenuhi pelanggan yang sedang minum minuman keras dan arak dicampur dengan perisa calamansi," katanya. 

Advertisement