Anda di sini

Bantu kerajaan jelaskan manfaat vaksin kepada rakyat

Advertisement
 Juliah (tengah) diiringi G Mohan (kanan) melawat pameran sempena program itu.
PAMERAN: Juliah (tengah) diiringi G Mohan (kanan) melawat pameran sempena program itu.

TUARAN: Semua pihak memainkan peranan penting membantu kerajaan menjelaskan kepada rakyat di seluruh pelusuk Sabah mengenai manfaat vaksin.

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, ia juga bagi menyokong usaha memperkukuhkan imuniti kelompok di negeri ini.

Katanya, pemberian vaksin yang dilaksanakan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia bertujuan mengakhiri episod pandemik COVID-19.

"Justeru, semua kita sebagai rakyat perlu membantu kerajaan menjelaskan atau menerangkan kepada rakyat  bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah satu-satunya cara untuk mengeluarkan negara daripada belenggu COVID-19.
 
"Saya difahamkan setakat 7 April lalu, seramai 385,423  orang di negeri Sabah mendaftar untuk menerima vaksin atau kira-kira 13.1 peratus daripada 2.9 juta golongan sasar. Jumlah pendaftaran untuk imunisasi masih pada tahap yang rendah di  negeri ini. 

"Sehubungan itu, saya ingin menyeru komitmen daripada semua pihak untuk mendaftar supaya sama-sama mendapat vaksin COVID-19. Saya sendiri sudah menerima vaksin yang kedua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Bulan Pemakanan dan Ulang Tahun Hospital Tuaran Ke-27 Peringkat Hospital Tuaran Tahun 2021 di sini hari ini.

Dalam pada itu Juliah berkata, pemakanan secara sihat memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dan mencegah penyakit terutama pada masa sekarang.

Menurutnya, memang tidak dapat dinafikan perubahan corak pemakanan dan ditambah dengan amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan yang tinggi lemak, gula, garam, kurang serat serta kurang melakukan aktiviti fizikal adalah penyumbang kepada masalah berlebihan berat badan serta pelbagai masalah kesihatan yang lain.

"Keadaan itu menyebabkan masyarakat kita pada hari ini dibebani pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis," katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada semua warga Hospital Tuaran kerana berjaya menganjurkan majlis itu dan berharap hospital itu akan terus mencapai kecemerlangan.

Turut hadir, Pengarah Hospital Tuaran Dr G Mohan A Gopal Naidoo; Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran Wanihim Othman; Timbalan Pengarah Hospital Tuaran Dr Prins Bonaventure Benedick; dan Pegawai Dietetik merangkap Penyelaras Program Nazirah Zuman.
 

  • oleh
  • Advertisement