Anda di sini

Wolves tewas di laman sendiri dibenam West Ham

Advertisement
 Pablo (tengah) menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara  Wolverhampton Wanderers dan West Ham United di stadium Molineux di Wolverhampton, kelmarin. — Gambar AFP
LEDAK: Pablo (tengah) menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Wolverhampton Wanderers dan West Ham United di stadium Molineux di Wolverhampton, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Jesse Lingard membantu West Ham United menang 3-2 di Wolves untuk naik ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris sementara harapan Everton memburu empat tangga teratas semakin terjejas apabila seri 1-1 dengan Crystal Palace pada Isnin.

Prestasi memberangsangkan Lingard sejak menyertai West Ham untuk kontrak pinjaman dari Manchester United pada bulan Januari menyaksikan beliau dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan England oleh jurulatih Gareth Southgate.

Pemain tengah itu meningkatkan lagi kedudukannya untuk beraksi bersama England dalam Euro 2020 apabila berlari hampir separuh padang untuk menjaringkan gol keenam dari lapan penampilan  bersama West  Ham seawal minit keenam permainan.

Lingard kemudian mengumpan bola untuk dua lagi gol pasukannya ketika mereka mendahului 3-0 dalam 38  minit pertama permainan.

Umpanan cantik kepada Arthur Masuaku sebelum melakukan hantaran lintang yang disempurnakan Pablo Fornals untuk gol kedua West Ham.

Lingard kemudian melepasi empat pemain Wolves sebelum melorong bola kepada Jarrod Bowen untuk gol ketiga.

“Beliau bermain dengan sangat bagus ketika ini,” kata pengurus West Ham, David Moyes. “Malam ini beliau kelihatan seperti pemain yang hebat.”

Tottenham Hotspur dan Liverpool kurang tiga mata di belakang West Ham dengan baki lapan perlawanan sahaja lagi musim ini.

“Kami harus mengambil peluang ini. Saya mendengar orang berkata tentang West Ham mempunyai peluang bermain dalam Liga Juara-Juara,” tambah Moyes.

“Tiada siapa membayangkannya musim lepas. Semua pasukan besar akan bersaing untuk tempat keempat, kami akan cuba untuk bersaing dengan mereka sehingga ke akhir musim.”

West Ham hilang fokus dan membiarkan Arsenal bangkit mengikat kedudukan 3-3 pada perlawanan liga terakhir dua  minggu lepas dan mereka hampir mengulangi kesilapan yang sama.

Leander Dendocker merapatkan kedudukan dari satu hantaran lintang Adama Traore sebelum rehat dan pemain gantian, Fabio Silva menjaringkan gol kedua ketika berbaki 22 minit permainan.

Namun kali ini, West Ham berjaya mengelak gol penyamaan sehingga ke wisel penamat tetapi cabaran mereka untuk memburu empat tangga  teratas kini terkesan dengan kecederaan kepada pemain penting.

Declan Rice tidak beraksi perlawanan liga yang pertama beliau musim ini kerana kecederaan lutut dan pemain tengah antarabangsa England itu dijangka tidak akan dapat beraksi selama sebulan.

Michail Antonio juga mengalami kecederaan dalam separuh masa pertama dan terpaksa dikeluarkan.

Pada perlawanan lain, Everton terlepas peluang untuk menghampiri tangga keempat liga dengan kurang tiga mata dan juga kurang satu perlawanan apabila gol penyamaan Michy Batshuayi minit ke-86 menafikan kemenangan Everton di Goodison Park.

Everton harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana mensia-siakan banyak peluang di antara gol pembukaan James Rodriguez.

“Sebab utama ialah kami gagal  menamatkan saingan apabila ada peluang,” kata pengurus Everton, Carlo Ancelotti.

“Apabila anda selayaknya  menang, anda harus  menang. Kami harus lebih fokus untuk mengelak situasi seperti ini.”

Rodriguez membuka jaringan 11  minit selepas rehat apabila menyempurnakan hantaran Seamus Coleman untuk gol ke-100 beliau dalam bola sepak di Eropah.

Dominic Calvert-Lewin dan Richarlison gagal menembusi penjaga gol Palace, Vicente Guaita untuk menamatkan saingan.

Dan kegagalan itu terbukti membawa padang apabila Batshuayi, yang hanya berada dalam padang selama dua minit, menyempurnakan hantaran Jeffrey Schlupp untuk memastkkan Everton tercicir mata buat kali ketujuh dari lapan perlawanan di tempat sendiri.

Palace kekal di tangga ke-12 tetapi kelihatan selamat dari penyingkiran selepas memiliki kelebihan 11 mata di atas zon penyingkiran. — AFP

Advertisement