Anda di sini

Tidak dengar tanda ada pihak lain bersama mangsa ketika aduan: Saksi

Advertisement
 Paul Yong hadir bagi perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkannya di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam. — Gambar Bernama
HADIRI PERBICARAAN: Paul Yong hadir bagi perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkannya di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Saksi kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam yang beliau tidak mendengar sebarang tanda menunjukkan ada pihak lain bersama mangsa ketika membuat aduan.

Penerima aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Riki Sapari, 39, yang menjawab panggilan mangsa pada kira-kira 11 pagi, 8 Julai 2019 memberitahu mahkamah pada perbicaraan hari kedua semalam ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Datuk Jamil Aripin.

“Tiada tanda-tanda atau suara bunyi lain pada saat mangsa berbicara dengan saya,” kata saksi pendakwaan ketiga itu apabila disoal Jamil sama ada terdapat tanda-tanda atau bunyi seolah-olah mangsa bersama orang lain ketika membuat panggilan.

Riki juga memberitahu tidak bersetuju apabila peguam mencadangkan mangsa diajar untuk bercakap sedemikian tetapi sebaliknya percaya tiada sesiapa yang mengajarnya untuk melaporkan kejadian itu.

“Dari cara mangsa berbicara dalam keadaan... menangis, panik dan ketakutan. Maksudnya, saya bisa mengatakan bahawa tidak ada siapa pun (bersama mangsa). Maksud saya dalam keadaan orang berbicara seperti itu saya berpendapat ia natural,” katanya.

Riki turut menjelaskan beliau menulis perkataan pelecehan seksual dalam sistem semasa pengaduan kerana mengikut pemahamannya ia turut termasuk dalam perlakuan pemerkosaan selain bukan dalam posisi untuk menentukan sama ada pemerkosaan berlaku dan melaporkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Perbicaraan dikendalikan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed manakala pihak pendakwaan diketuai Jamil yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan sementara pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.

Abdul Wahab kemudian membenarkan saksi pendakwaan keempat dipanggil iaitu Penyelia Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Sarjan Mejar A. Anna Francisca untuk memberi keterangan.

Anna Francisca turut ditunjukkan barangan kes termasuk laporan kimia, Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan rakaman kamera litar tertutup berbentuk CD berkaitan kes itu untuk pengecaman sebelum prosiding ditangguhkan pada sebelah petang.

Pada 21 Disember lepas, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac lepas untuk perbicaraan kes selepas Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya itu di kediaman beliau di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam namun ditangguh sehingga dimulakan semalam.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Yong pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Sementara itu, polis Melaka akan mengukuhkan kerjasama dengan sektor perindustrian dan perkilangan bagi mewujudkan kawasan persekitaran paling selamat sekali gus memberi kepercayaan kepada pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata usaha itu termasuk menubuhkan satu jawatankuasa urus setia antara Polis Melaka dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) cawangan Melaka bagi mendapatkan mekanisme terbaik terhadap usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.— Bernama

Advertisement