Anda di sini

Rege-Jean Page tiada dalam musim kedua ‘Bridgerton’

Advertisement
 Musim pertama menyaksikan Daphne, lakonan Phoebe Dynevor (tengah) membuat penampilan sulung di Regency London, mencari seorang suami, dan musim kedua akan fokus kepada abangnya Lord Anthony  (kanan) yang dilakonkan oleh Jonathan Bailey.
BRIDGERTON: Musim pertama menyaksikan Daphne, lakonan Phoebe Dynevor (tengah) membuat penampilan sulung di Regency London, mencari seorang suami, dan musim kedua akan fokus kepada abangnya Lord Anthony (kanan) yang dilakonkan oleh Jonathan Bailey.

PELAKON Rege-Jean Page tidak akan membuat penampilan dalam musim kedua siri romantik yang memecah rekod ‘Bridgerton’, kata Netflix, mengecewakan peminat Duke of Hastings yang menawan itu.

Drama popular daripada pencipta ‘Grey’s Anatomy’, Shonda Rhimes, menampilkan unsur moden ke dalam siri novel tentang keluarga kelas atas pada awal abad 19-an di England, termasuk pemilihan pelakon tanpa mengira warna kulit.

Pelakon British-Zimbabwe, Page, terus mencipta nama selepas muncul dalam musim pertama, namun jalan cerita karektornya telah pun disimpulkan dalam permulaan siri buku karya Julia Quinn, yang setiap satunya mengulas tentang adik beradik berasingan dalam keluarga Bridgerton.

“Pembaca yang disayangi, dengan semua mata memandang misi Lord Anthony Bridgerton dalam mencari seorang Viscountess, kita mengucapkan selamat jalan kepada Rege-Jean Page, yang telah dengan cemerlang membawa watak Duke of Hastings,” menurut satu surat dari akaun Twitter rancangan itu.

“Kita akan merindui kehadiran Simon di skrin, tetapi beliau akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga Bridgerton.”

Pada Januari, Netflix mengumumkan bahawa ‘Bridgerton’ telah menjadi siri baharu paling popular di platform itu, ditonton lebih daripada 82 juta kediaman.

Ia menampilkan beberapa pelakon berkulit hitam dalam watak berkelas tinggi termasuk Page, sungguhpun penghambaan hanya dimansuhkan pada 1833 di England dan isu perkauman tersebar luas.

“Ingat: Duke tidak pernah pergi,” tulis Rhimes di Instagram. “Beliau hanya menunggu untuk ditonton semula.”

Namun sebahagian peminat kecewa, dengan seorang mengulas: “Ini suatu jenaka, kan? Jika tidak kamu telah mematikan rancangan itu.”

Musim pertama menyaksikan Daphne Bridgerton (Phoebe Dynevor) membuat penampilan sulung di Regency London, mencari seorang suami, dan musim kedua akan fokus kepada abangnya Lord Anthony Bridgerton (Jonathan Bailey).

“Daphne akan kekal menjadi isteri dan adik yang taat, membantu hala tuju abangnya dalam musim akan datang dan menampilkan lebih banyak persoalan dan percintaan untuk kesemua pembaca saya,” ulas kenyataan itu lagi. — AFP

Advertisement