Anda di sini

MDL tetapkan dua lokasi bazar Ramadan di daerah Limbang

Advertisement

LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) menetapkan kawasan Lot 777 dan Night Street Market untuk dijadikan sebagai lokasi bazar Ramadan di daerah Limbang yang bermula 12 April hingga 12 Mei nanti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Wali Kotanya Kaunselor Sufian Mohat berkata, hanya 65 peniaga perlu menjalani ujian swab RT-PCR dengan keputusan negatif COVID-19 ditetapkan untuk berjaja di dua kawasan terbabit.

“Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan bermula 12 April hingga 12 Mei 2021 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” katanya kepada media ketika dihubungi semalam.

Jelas Sufian lagi, antara SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan dua meter bagi setiap gerai, pemakaian pelitup separuh muka, pemakaian apron, penyediaan pesanitasi tangan, pengimbas suhu, tulis nama, pemgimbas kod MySejahtera dan SOP lain.

“Hanya tiga orang dibenarkan berada dalam setiap gerai dan hanya mereka dibenarkan menghidang menu makanan atau minuman yang dijual kepada pengunjung,” ujarnya.

Beliau memberitahu lagi, bazar dibuka bermula jam 2 petang hingga 7 malam dan aktiviti sanitasi akan dilakukan selepas itu selama satu jam setiap hari oleh kontraktor yang dilantik.

“MDL tidak mengenakan bayaran untuk permit perniagaan kali ini tetapi hanya mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM60 sebulan setiap gerai yang berjaja,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya turut menyediakan bekalan air namun bekalan elektrik dan kanopi perlu disediakan peniaga sendiri.

Sufian berkata, mereka yang berminat berniaga di bazar Ramadan boleh datang ke pejabat MDL untuk membuat permohonan.

“Mereka yang tidak dapat ikut serta berniaga di bazar Ramadan kelolaan MDL kerana kawasan yang terhad boleh menyertai bazar kelolaan persatuan lain iaitu Persatuan Melayu Limbang (PML), pihak swasta atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing,” ujarnya.

Mengulas mengenai arahan menjalani ujian calitan RT-PCR bagi peniaga di hadapan rumah atau kawasan kampung, pihaknya masih menunggu keputusan daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

Bagi isu bayaran  ujian swab RT-PCR yang dikenakan kepada peniaga katanya, ia terpulang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPBNS.

Advertisement