Anda di sini

Hanya calon dari PRS boleh bertanding di kerusi Parlimen Julau - Snowdan

Advertisement
Snowdan ketika ditemui pemberita selepas Sidang Kemuncak Belia 2021, hari ini.

KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan tetap dengan kenyataannya sebelum ini bahawa hanya calon dari parti itu boleh bertanding mewakili GPS di kerusi Parlimen Julau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelak. 

Snowdan yang ditemui selepas perasmian Sidang Kemuncak Belia 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini hari ini, berkata kerusi Parlimen Julau adalah kerusi tradisi PRS. 

“Sebab itu kerusi itu (Julau) akan ditandingi calon dari PRS,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin. 

Ditanya jika PRS mempunyai calon berpotensi untuk Julau, Snowdan berkata calon berpotensi memang ada tetapi perlu dikenal pasti. 

“Saya adalah salah seorang daripada lima jawatankuasa pemilihan selain Tan Sri James Masing sebagai presiden, Datuk Seri Doris Sophia Brodie, Datuk Janang Bungsu dan Datuk Joseph Salang Gandum. 

“Kita akan cadangkan nama-nama ini kepada Ketua Menteri dan terpulang kepada Ketua Menteri untuk melihatnya dan memberikan kelulusan nama yang dicalonkan,” ujarnya. 

Jelas Snowdan, parti akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi dan akan membincangkan perkara ini sebelum dikemukakan kepada Ketua Menteri. 

Ditanya pendirian beliau sebagai Ketua Pemuda PRS jika bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Larry Sng berhasrat menyertai kembali PRS, Snowdan berkata sesiapa sahaja boleh memohon untuk menyertai PRS. 

Tetapi tegasnya ia adalah terpulang kepada parti untuk membuat keputusan. 

“Kita akan rujuk kepada MKT (majlis kerja tertinggi) sama ada setuju atau tidak. Mesti ada persetujuan bersama untuk pertimbangkan. Bukan keputusan satu atau dua orang,” ujarnya. 

Bagaimanapun menurut Snowdan, setakat ini parti tidak menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpin PKR tersebut yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau untuk menyertai semula parti. 

Advertisement