Anda di sini

18 rumah diroboh ceroboh tanah

Advertisement
 Salah sebuah struktur haram didirikan kurang satu bulan dari notis perintah mahkamah diedarkan turut dirobohkan dalam operasi ini.
ROBOH: Salah sebuah struktur haram didirikan kurang satu bulan dari notis perintah mahkamah diedarkan turut dirobohkan dalam operasi ini.

- Susulan tindakan mahkamah oleh pemilik tanah pada 25 Jun tahun lalu

KOTA KINABALU: Sebanyak 18 rumah yang dibina di tanah diceroboh di Kampung Likas, dekat sini, dirobohkan.

Menurut sumber, kesemua rumah terbabit dipercayai didirikan tanpa kebenaran mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan ataupun Jabatan Tanah dan Ukur.

"Sebelum ini pemilik tanah mengesan terdapat unsur pencerobohan pada tanah seluas kira-kira 40 ekar di Kampung Likas sebelum membuat tindakan lanjut di Mahkamah Kota Kinabalu pada 25 Jun tahun lalu.

"Lebih mengejutkan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mendakwa tanah terbabit sudah didaftarkan untuk perkampungan tidak masuk akal sama sekali apabila berlakunya penjualan tanah lot kepada penduduk kampung lain.

"Bertindak dengan kejadian itu, pihak mahkamah kemudian menghantar notis perintah mahkamah kepada penduduk yang membangunkan rumah agar berpindah serta menghentikan pembuatan rumah serta merta pada 8 Mac lalu," katanya.

Menurutnya, beberapa penduduk sudah membuat rayuan kepada pihak mahkamah dan proses untuk merobohkan tujuh daripada rumah itu ditangguhkan buat sementara.

"Disebabkan tempoh selama sebulan diberikan untuk penduduk ini berpindah sudah tamat, maka kita melaksanakan proses untuk merobohkan 18 struktur yang dibuat di tanah yang diceroboh.

"Sementara tindakan ke atas tujuh rumah lagi, termasuk sekolah badan bukan kerajaan ditunda buat sementara sehingga kita mendapat arahan perobohan selanjutnya," katanya.

Tambahnya, proses untuk merobohkan struktur terbabit mengambil masa selama tiga hari bermula semalam.

Sepanjang proses merobohkan rumah terbabit berlaku sedikit ketegangan daripada penduduk dan pihak yang diarah melaksanakan operasi selama beberapa jam.

Turut hadir semasa proses merobohkan struktur berkenaan adalah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai pemerhati serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang memotong sambungan elektrik haram ke semua rumah terbabit serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu tular video daripada seorang lelaki yang mendakwa mendapat kebenaran untuk mewujudkan perkampungan di Kampung Likas awal bulan ini.

Kenyataan itu bagaimanapun ditegah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Azhar Matussin yang mengatakan kerajaan tidak pernah sesekali memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menceroboh sebidang tanah di Kampung Likas seperti yang didakwa.

Katanya, beliau juga sudah mendapat pengesahan daripada Istana Negeri bahawa tiada apa-apa kebenaran pernah dikeluarkan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah seperti dakwaan berkenaan.

"Dasar kerajaan sekarang adalah untuk menyediakan tempat tinggal baik untuk rakyat dan membanteras penempatan setinggan daripada bertambah jadi kalau itu dasar kita kenapa mahu bagi kebenaran.

"Tanah itu juga bukan milik kerajaan jadi amatlah tidak berasas jika kerajaan berikan status tanah kepada orang lain," katanya.

  • oleh
  • Advertisement