Anda di sini

Tragedi feri kecil karam di Bangladesh

Advertisement
 Orang ramai dan sanak saudara mangsa menyaksikan usaha sebuah kapal penyelamat untuk menimbulkan semula feri yang karam di Sungai Shitalakshya di Narayanganj, semalam. — Gambar AFP
GIAT: Orang ramai dan sanak saudara mangsa menyaksikan usaha sebuah kapal penyelamat untuk menimbulkan semula feri yang karam di Sungai Shitalakshya di Narayanganj, semalam. — Gambar AFP

DHAKA: Lima maut dan para pekerja penyelamat giat mencari puluhan mangsa yang masih hidup selepas sebuah feri kecil yang dipenuhi lebih 50 penumpang karam setelah bertembung dengan sebuah bot lain di sebatang sungai utama di Bangladesh kelmarin, menurut pihak berkuasa.

Feri itu karam di sungai Shitalakhsya kira-kira jam 6 petang waktu tempatan selepas meninggalkan bandar pusat perindustrian Narayanganj, 20 kilometer dari bandar utama Dhaka, untuk ke daerah berhampiran Munshiganj, pihak berkuasa memaklumkan AFP.

Inspektor polis tempatan menyatakan feri itu dipenuhi dengan penumpang yang ingin segera meninggalkan Narayanganj selepas kerajaan mengesahkan kawalan pergerakan selama tujuh hari di seluruh negara bermula semalam bagi menangani peningkatan terbaharu kes COVID-19.

“Angka kematian adalah lima,” kat pentadbir kerajaan Narayanganj Shukla Sarker sambil menjelaskan lanjut bahawa beberapa penyelam dari jabatan bomba menjalankan usaha mencari mangsa yang masih hidup.

Sarker menyatakan 11 mangsa berjaya diselamatkan dan beberapa penumpang lain mungkin telah berenang ke tempat yang selamat di bahagian lain di sungai tersebut.

“Justeru itu, kami tidak mengetahui dengan tepat jumlah mangsa yang masih hilang,” beliau memberitahu AFP.

Ketua polis tempatan Dipak Saha menyatakan usaha menyelamat terjejas akibat ribut yang sangat kuat melanda selepas kemalangan tersebut.

Di bawah kawalan pergerakan, semua perkhidmatan perjalanan domestik termasuk bas, feri, kereta api dan pesawat dihentikan bermula semalam.

Kedai dan pusat beli-belah ditutup selama seminggu dan perintah berkurung waktu malam dilaksanakan.

Perniagaan sektor awam dan swasta dimaklumkan untuk hanya mempunyai kakitangan yang diperlukan dalam pejabat mereka.

Kemalangan feri sering berlaku di Bangladesh, negara delta yang berselirat dengan ratusan sungai.

Berjuta-juta penduduk bergantung sepenuhnya dengan feri bagi pengangkutan terutama di wilayah pantai selatan, namun perkhidmatan tersebut memiliki rekod keselamatan yang kurang baik.

Pakar mempersalahkan kapal yang kurang diselenggarakan, tahap keselamatan yang tidak ketat di pangkalan kapal dan muatan berlebihan sebagai kebanyakan punca nahas.

Pada Jun tahun lepas, sebuah feri karam di Dhaka selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah feri lain, dengan sekurang-kurangnya 32 orang maut.

Pada Februari 2015, sekurang-kurangnya 78 maut apabila sebuah kapal melebihi muatan bertembung dengan sebuah kapal kargo di sebatang sungai di tengah Bangladesh.

Jumlah kemalangan menurun mendadak sejak beberapa tahun ini ketika pihak berkuasa bertindak tegas terhadap kapal yang tidak boleh belayar lagi. — AFP

Advertisement