Anda di sini

Rumah panjang terbakar di Bukit Limau, Tinjar

Advertisement
Kebakaran di Rumah Jeff Anchum malam tadi. - Gambar ihsan BBP Lopeng

MIRI: Kira-kira 19 keluarga di Rumah Jeff Anchum di Bukit Limau, Tinjar, hilang tempat berteduh apabila rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Law Poh Kiong berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.16 malam.

Beliau berkata, maklumat awal diperolehi dari Tuai Rumah Jeff mendapati kebakaran berlaku sekitar jam 7.30 malam.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.45 malam iaitu hampir empat jam perjalanan kerana keadan jalan yang licin.

“Kebakaran itu menyebabkan 19 pintu terbakar manakala lima pintu terselamat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau menambah, hasil tinjauan pasukan bomba setiap pintu berkeluasan 20x80 kaki.

“Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Law berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk sampai ke lokasi kebakaran memandangkan ia terletak kira-kira 117 km dari balai  terdekat.

“Cabaran lain pasukan bomba perlu melalui jalan balak yang licin selepas hujan menyebabkan jentera bomba tidak dapat memasuki jalan ke Rumah Jeff.”

Selain itu katanya, tiada rangkaian komunikasi di lokasi kejadian dan dalam perjalanan menuju ke rumah panjang menyukarkan usaha menyelamat.

Law menambah, wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil telah menghubungi beliau memaklumkan kebakaran itu dan seterusnya menghubungi BBP Lopeng.

  • oleh
  • Advertisement