Anda di sini

PNS sasar transformasi 20 perniagaan mikro kepada peniagaan francais tahun ini

Advertisement
 Wan Junaidi (dua kiri) ketika melawat tapak pameran selepas perasmian Bit Expo 2021 di Dewan Seri Endon, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
TERTARIK: Wan Junaidi (dua kiri) ketika melawat tapak pameran selepas perasmian Bit Expo 2021 di Dewan Seri Endon, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyasar untuk mentransformasikan 20 perniagaan mikro usahawan tempatan kepada perniagaan francais di bawah program ‘Business In-Transformation’ (BIT) tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata wakil PNS di setiap negeri akan mengenal pasti produk dan perkhidmatan yang berpotensi untuk menjalani proses transformasi menjadi perniagaan francais.

“Banyak lagi produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh usahawan tempatan yang layak untuk francais tetapi masih belum berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo BIT (BITe) 2021, di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd Edris; Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.

Wan Junaidi berkata melalui program BIT, peniaga kecil akan dibimbing meliputi usaha menaik taraf perniagaan dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan.

Beliau berkata sistem francais yang disediakan PNS bukan hanya tertumpu kepada perniagaan besar malah perniagaan mikro.

“Sistem ini sangat mudah dan ia membantu untuk melonjakkan seseorang dan perniagaan ke tahap lebih tinggi,” katanya dengan menambah PNS komited untuk membantu usahawan dalam perniagaan francais.

Sementara itu, Zakaria dalam ucapannya berkata sebanyak 130 peniaga kecil telah menyertai program BIT sejak diperkenalkan pada 2013, dengan PNS telah membiayai RM6.14 juta bagi usahawan prafrancaisor dan prafrancaisi yang menyertai program itu.

“Apa yang membanggakan, penyertaan usahawan mikro dalam program BIT telah melahirkan seramai 1,441 prafrancaisi sekali gus menciptakan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu.

“Perkembangan positif ini membuktikan bahawa ramai peniaga kecil di luar sana yang mahu melihat perniagaan mereka dimajukan supaya dapat bersaing dengan sistem perniagaan yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata melalui program BIT, PNS mengenal pasti peniaga kecil untuk mentransformasikan serta memodenkan perniagaan mereka supaya dapat berdaya saing di pasaran seterusnya di samping boleh dimajukan menjadi perniagaan francais.

“Proses melahirkan francaisor dan francaisi perlu diberi perhatian memandangkan francais merupakan antara industri yang memacu ekonomi negara.  

“Selain memberi pembiayaan, latihan, bimbingan dan rundingan, PNS juga menyediakan pelbagai skim dan program bagi membantu usahawan mengembangkan dan memantapkan perniagaan francais,” katanya.

Zakaria berkata PNS komited menyokong usahawan yang ingin berjaya dan terus memberi galakan kepada usahawan yang mahu bergiat aktif dalam bidang perniagaan khususnya francais.  

Mengenai BITe, beliau berkata program sehari itu disertai lebih 500 peserta bertujuan mempromosikan program BIT serta memberi peluang kepada masyarakat mengenai peluang perniagaan yang boleh diceburi.

BITe 2021 berlangsung di Dewan De’ Seri Endon, Presint 10  di sini, dengan 39 pempamer yang terdiri daripada usahawan BIT dari seluruh negara mempamerkan model-model perniagaan mereka.

— Bernama

Advertisement