Anda di sini

Pejalan kaki maut dilanggar ambulans

Advertisement

SRI AMAN: Seorang pejalan kaki maut akibat dirempuh ambulans ketika melintas jalan di Kilometer 52 Jalan Sri Aman-Kuching, berhampiran kawasan Rapak Tepus A, dekat sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Juan Mudin, 69, dan beralamatkan dari Rumah Jun, Rapak Tepus, Pantu, di sini.

Menurutnya mangsa, dalam kemalangan tersebut yang dilaporkan berlaku sekitar jam 8.45 malam, yang dikatakan mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sri Aman.

"Semasa kemalangan berlaku, van ambulans Klinik Kesihatan Pantu dikatakan bergerak menuju ke Lachau untuk memgambil mangsa kemalangan jalan raya.

"Bagaimanapun, semasa dalam perjalananan, ambulans itu telah melanggar mangsa yang cuba melintas jalan menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia selepas itu," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu dan penumpang ambulans difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas Alexson juga, laporan berhubung kejadian hanya diterima semalam sekitar jam 9.58 pagi.

"Susulan itu, pegawai penyiasat telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan juga mengambil sampel darah mamgsa serta pemandu ambulans bagi tujuan memeriksa kandungan alkohol atau dadah," katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement