Anda di sini

Man United tewaskan Brighton, rapatkan jurang dengan City

Advertisement
 Rashford (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Brighton and Hove Albion di Old Trafford di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP
BOLOS: Rashford (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Brighton and Hove Albion di Old Trafford di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Manchester United bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Brighton 2-1 untuk merapatkan kedudukan di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan kurang 14 mata sementara harapan Tottenham Hotspur mencabar empat tangga teratas liga terjejas apabila gol lewat Joe Wilock memastikan Newcastle United seri 2-2 pada Ahad.

Bukan kali pertama musim ini di mana United memerlukan kebangkitan bergaya dalam separuh masa kedua selepas 45 minit pertama yang hambar untuk membawa pulang tiga mata penuh menerusi gol Marcus Rashford dan Mason Greenwood.

Danny Welbeck membuka jaringan buat Brighton sebelum Lewis Dunk tidak bernasib baik untuk menambah jaringan apabila cubaannya terkena palang.

Brighton juga  mengulangi cerita yang hampir sama musim ini apabila gagal menterjemah penguasaan bola kepada gol sebelum rehat.

Rashford mengikat kedudukan pada minit ke-62 dari umpanan Bruno Fernandes sebelum Fernandes sekali lagi terlibat apabila umpanan beliau kepada Paul Pogba, berakhir dengan tandukan Greenwood untuk gol kemenangan dan gol liga kedua beliau musim ini.

Peluang United mengejar City kelihatan tipis dengan City hanya memerlukan 11 mata dari baki tujuh perlawanan musim ini untuk mengesahkan kejuaraan ketiga dalam tempoh empat tahun.

Tetapi kemenangan membuka ruang 11 mata di antara United dan pasukan di tangga kelima, Tottenham Hotspur dan Liverpool dalam buruan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

“Ia masih jauh berbanding City tetapi kami mahu mengukuhkan kedudukan di tangga kedua,”  kata Solskjaer.

Spurs harus menyalahkan diri mereka sendiri selepas tercicir dua mata penting di St. James’ Park.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu kurang lima minit untuk naik ke tangga keempat liga selepas dua gol Harry Kane dalam separuh masa pertama.

Joelinton meletakkan Newcastle di hadapan sebelum Willock, pemain pinjaman dari Arsenal menjaringkan gol penyamaan ketika berbaki lima minit permainan.

Tottenham mengatasi Liverpool ke tangga kelima dengan perbezaan gol tetapi masih dua mata di belakang Chelsea dengan baki lapan perlawanan sahaja lagi musim ini.

“Saya kecewa. Kami perlu memenangi perlawanan. Kami mencipta beberapa ketidakstabilan dengan begitu ramai pemain melakukan kesilapan secara individu,” kata pengurus Spurs, Jose Mourinho.

Ditanya kenapa Tottenham bergelut mempertahankan kedudukan ketika pasukannya bertahan dengan sangat baik sebelum ini, Mourinho menjawab: “Jurulatih sama, pemain berbeza.

“Liga Perdana adalah bola sepak peringkat tertinggi dan sukar dan apabila dalam beberapa perlawanan anda tidak menunjukkan bahawa anda tidak berada dalam tahap bola sepak tinggi, ia adalah sukar.”

Gol Willock terbukti sangat  penting buat Newcastle kerana ia membolehkan mereka menjarakkan kedudukan dengan kelebihan tiga mata berbanding Fulham, yang tewas 1-3 di Aston Villa.

Fulham dilihat berpeluang melangkah keluar dari zon penyingkiran apabila Aleksandar Mitrovic menyempurnakan umpanan lemah Tyrone Mings untuk menjaringkan gol liga yang pertama beliau sejak bulan September.

Villa kelihatan kurang kreatif tanpa pemain tengah utama, Jack Grealish, yang masih merawati kecederaannya.

Tetapi Villa menemui rentak apabila menjaringkan tiga gol dalam 12 minit terakhir permainan.

Trezeguet masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit untuk mengubah keputusan.

Ollie Watkins melengkapkan jaringan dari umpanan Bertrand Traore.

Pada perlawanan awal, Southampton semakin mengesahkan akan terus kekal dalam Liga Perdana apabila bangkit dari ketinggalan 0-2 sebelum menang 3-2.

Penalti Chris Wood dan gol Matej Vydra meletakkan Burnley selesa di hadapan pada 28 minit pertama permaiann.

Namun Southampton bangkit bergaya dengan Stuart Armstrong dan Danny Ings menjaringkan gol penyamaan sebelum rehat.

Nathan Redmond menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-66 apabila menyempurnakan hantaran lintang Theo Walcott.

“Tiga mata  ini sangat penting,” kata pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl. “Apabila anda melihat lima gol, ia sentiasa menarik untuk penonton tetapi ia tidak bagus untuk jantung pengurus.”

Selepas kemenangan kedua dari 13 perlawanan, Southampton kini tiga mata di atas Burnley, yang  berada tujuh mata di  hadapan Fulham. — AFP

Advertisement