Anda di sini

Maklumkan segera jika ada kes COVID-19 di sekolah - STU

Advertisement
 

KUCHING: Sebarang kes COVID-19 yang berlaku di sekolah perlu dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan segera supaya penularan wabak itu boleh dibendung dengan lebih berkesan, kata Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah (gambar).

Beliau menggesa semua pihak termasuk pengurusan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri memaklumkan sebarang kejadian melibatkan guru atau murid di sekolah kepada KKM dengan segera agar tindakan boleh diambil. 

"Sebarang kes di sekolah tidak harus disembunyikan supaya penularan wabak ini boleh dibendung dengan berkesan.

“Kita semua harus menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam membantu menangani wabak COVID-19 ini,” katanya menerusi kenyataan kepada Utusan Borneo hari ini.

Beliau berkata, STU mengambil berat tentang makluman oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkaitan peningkatan kluster pendidikan melibatkan murid, guru dan kakitangan sekolah di seluruh negara. 

Menurutnya, sebanyak 20 kluster dikenal pasti oleh pihak KKM yang menunjukkan peningkatan dikaitkan jangkitan rakan sekerja dan kontak sosial. 

“Makluman ini sangat membimbangkan dan oleh sebab itu, STU sentiasa memohon agar tindakan yang lebih berkesan diambil oleh KPM (Kementerian Pendidikan) dan KKM dalam menbendung wabak ini.

“Biarpun kita maklum KKM mengambil tindakan dengan menggerakkan pasukan kesihatan untuk pengesanan kes dan kontak serta menjalankan proses disinfeksi apabila perlu, namun adakah tindakan sedemikian berkesan setakat ini? Adakah penilaian risiko yang dibuat betul-betul menyelesaikan masalah yang dihadapi?,” soal beliau.

Adam berkata, justeru kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih agresif dan efektif agar penularan wabak COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau dalam pada itu memohon Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk memberi sokongan kepada warga guru seluruh negara agar diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kita bukan meminta yang luar biasa hanya pertimbangan sewajarnya demi keselamatan warga sekolah amnya,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement