Anda di sini

Ketua kaum, ketua masyarakat wajib laporkan aktiviti majlis sosial kepada pejabat daerah - Uggah

Advertisement
Uggah pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini. Turut kelihatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian (kiri). - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

KUCHING: Semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di negeri ini wajib memantau dan melaporkan segala aktiviti majlis sosial termasuk perkahwinan, kematian dan sebagainya kepada pejabat daerah masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, arahan berkenaan adalah berkuat kuasa serta merta dalam usaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa majlis sosial.

"Pejabat Daerah akan sedia membantu KMKK bagi menasihati dan mendapatkan bantuan dari agensi-agensi yang berkenaan untuk memastikan SOP yang sedia ada dipatuhi.

"Dahulu memang mereka perlu membuat laporan tetapi sekarang ia adalah mandatori dimana mereka mesti membuat laporan kepada pejabat daerah jika ada sebarang aktiviti sosial," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada sidang media di sini, hari ini.

Uggah menegaskan KMKK memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan masyarakat setempat dari penyebaran COVID-19. 

Katanya mereka juga diminta untuk memberikan maklumat dan nasihat kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya mematuhi SOP.

"Dengan membuat laporan maka pejabat daerah akan menggerakkan anggota Rela ke kawasan mereka yang akan menentukan pematuhan SOP semasa majlis sosial diadakan.

"Kita sedar memang ada masalah untuk orang kampung atau KMKK menguatkuasakan SOP terutama semasa majlis sosial tetapi dengan bantuan anggota Rela dan polis yang ada ia dapat menentukan SOP dipatuhi," katanya.

Uggah pada masa yang sama memohon terutama kepada masyarakat luar bandar di negeri ini supaya bersama mematuhi SOP kerana dengan cara itu ia dapat membantu mengekang penularan wabak COVID-19.

"Kita berharap KMKK dapat bekerjasama kerana mereka adalah jentera kerajaan yang memainkan peranan dalam menentukan mereka sihat, anak buah (di bawah jagaan) sihat maka itu rakyat Sarawak akan sihat," katanya.

Advertisement