Anda di sini

Signifikan Sarawak digelar sebagai wilayah dipersoal

Advertisement
 

KUCHING: Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian (gambar) mempersoalkan signifikan sebenar kepada Sarawak apabila ia diisytihar sebagai wilayah atau region oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa lawatan kerjanya ke negeri ini baru-baru ini.

Muhyiddin semasa berucap pada satu majlis, merujuk Sarawak sebagai wilayah dan bukan sekadar sebuah negeri di Malaysia.

"Apakah yang bakal berubah dengan pengisytiharan ini? Paling penting, apakah status kita dalam Persekutuan? Adakah beliau (Muhyiddin) mengiktiraf status pra 1976 kita (Sarawak) atau adakah beliau memberi kita status baharu, masih belum diperjelaskan?

"Ia seperti beliau telah memberi nama baharu kepada kita (Sarawak) sebagai wilayah tetapi status kita masih sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Baru yang juga Ahli Majlis Presiden Parti Bersatu Sarawak (PSB) rakyat negeri ini mahu tahu apa yang telah dilakukan oleh tiga jawatankuasa kerja dalam Majlis Khas Perikatan Nasional (PN) mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak ia ditubuhkan.

Beliau berkata kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) 17 isu berjaya diselesaikan dan kini tinggal empat isu utama perlu diselesaikan menerusi rundingan antara Perdana Menteri dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak. 

Baru berkata inilah masa terbaik untuk Sarawak dan Sabah menuntut semua haknya di bawah MA63 termasuk menaikkan royalti minyak tidak hanya dihadkan kepada 20 peratus memandangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri dan GPS rakan dalam gabungan PN.

"Royalti minyak, saya percaya salah satu daripada empat isu yang masih belum diselesaikan, perlu dibincangkan secara langsung dengan Ketua Menteri Sarawak dan Sabah.

"Bagi Sarawak, sehingga kini, jawatankuasa negeri belum mendedahkan kepada rakyat Sarawak mengenai kajian mereka hasil 'lawatan' ke London pada 2017. Apakah pengesyoran dan strategi pasukan perudangan bagi menegas serta menuntut kembali hak-hak kita yang telah hilang bertahun-tahun?," soalnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba' Kelalan itu mendakwa pada 2019 kerajaan PH mengusulkan pindaan ke atas Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi mengembalikan kata-kata asal adalah peluang terbaik mengembalikan status Sarawak dan Sabah tetapi usaha itu digagalkan oleh GPS.

Beliau menambah, Muhyiddin tidak menawarkan apa-apa apabila mengelar Sarawak sebagai wilayah.

"Biar beliau mengisytiharkan status kita sebagai negeri yang autonomi dan memberi kita apa yang benar-benar milik kita, jika beliau ikhlas," ujarnya.

Baru juga bertanya, adakah rakyat Sarawak boleh mempercayai perdana menteri dan GPS kali ini.

"Saya percaya rakyat Sarawak cukup matang dalam politik dan menyedari 'bicara kosong', kebiasaan bagi pemimpin PN. Tindakan lebih berkesan berbanding kata-kata. Wilayah, negeri, apa bezanya?" soalnya lagi.
 

Advertisement