Anda di sini

Real Sociedad juara Copa del Rey kali ke-3

Advertisement
 Pemain dan kru pasukan Real Sociedad meraikan kejayaan mereka di atas podium dengan menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan Athletic Bilbao 1-0 pada final Copa del Rey di Stadium La Cartuja, Sevilla. — Gambar AFP
GEMBIRA: Pemain dan kru pasukan Real Sociedad meraikan kejayaan mereka di atas podium dengan menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan Athletic Bilbao 1-0 pada final Copa del Rey di Stadium La Cartuja, Sevilla. — Gambar AFP

MADRID: Real Sociedad memenangi Copa del Rey buat kali ketiga pada Sabtu apabila menewaskan kelab jiran, Athletic Bilbao 1-0 pada perlawanan akhir yang tertangguh dari musim lepas.

Mikel Oyarzabal, kapten Sociedad yang menyertai akademi kelab pada usia 14 tahun, menjaringkan penalti yang terbukti gol tunggal kemenangan di Seville, di mana perlawanan terbesar pernah berlangsung di antara dua  kelab terkenal wilayah Basque itu yang terpaksa dilangsungkan tanpa penonton.

“Ia adalah hari yang hebat,” kata Oyarzabal. “Anda mengingati semua orang, semua yang anda harap untuk berada di sini, mereka yang juga telah meninggalkan kita. Ini adalah untuk semua orang, keluarga dan rakan-rakan saya. Ia sangat bermakna sekali.”

Gol Oyarzabal memastikan Real Sociedad kejuaraan Copa del Rey yang pertama mereka dalam tempoh 34 tahun sementara dalam masa yang sama menafikan kejuaraan ke-24 buat Athletic Bilbao, yang kini harus bangkit untuk final kedua mereka dalam tempoh dua minggu lagi.

Athletic Bilbao juga melangkah ke final kejohanan yang sama musim ini, yang akan berlangsung di padang yang sama di La Cartuja pada 17 April dan kali ini lawan mereka adalah Barcelona.

“Saya tidak kecewa, saya sedih,” kata jurulatih Bilbao, Marcelino Garcia Toral. “Pemain tersentak tetapi mereka harus bangkit semula.”

Bagi Sociedad, ini adalah satu peluang dan mereka mengambilnya dengan memenangi satu perlawanan yang sengit dan tanpa banyak ruang tetapi pasukan yang lebih baik selayaknya menang.

Lapan belas dari 22 pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama berasal dari Basque, dengan ramai di antara mereka bermula dalam akademi kelab yang mereka masing-masing wakili sekarang, termasuk Oyarzabal, yang lahir di Gipuzkoa dan menyertai Sociedad di usia remaja.

Final musim 2019/2020 ini ditangguh begitu lama dengan harapan penyokong mungkin dapat hadir tetapi sebaliknya, ia dianjurkan 1,000 kilometer di selatan Sevilla, di mana sekitar 350 tetamu dan wartawan dibenarkan hadir tetapi ruang tempat duduk penonton jelas kelihatan kosong.

Keterujaan memuncak di Bilbao, di mana polis hadir untuk menangani kekecohan pada awal hari. Sejumlah besar penyokong Athletic berkumpul berhampiran Stadium San Mames, dengan beberapa penyokong membaling batu dan suar sementara ramai lagi tidak mengendahkan amalan penjarakan sosial.

La Cartuja kelihatan seperti gelanggang sendiri untuk kedua-dua pasukan, kecuali cuacanya kerana hujan turun pada 20 minit pertama permainan.

Kedua-dua pasukan gagal mengawal permainan dengan banyak hantaran liar dan sentuhan hambar tetapi Real Sociedad lebih mengawal bola walaupun jika Athletic hampir menjaringkan gol.

Raul Garcia melihat cubaannya tersasar sebelum cubaan Inigo Martinez dari jarak jauh tidak menepati sasaran selain penjaga gol Sociedad, Alex Remiro juga ada beraksi tangkas menepis keluar bola.

Gol kemenangan bagaimanapun ditentukan oleh tendangan penalti apabila Inigo menghalang Mikel Merino menjaringkan gol dan Oyarzabal dengan tenang menyempurnakan penalti untuk gol pembukaan Sociedad.

Ada lapan minit masa kecederaan diberikan tetapi Athletic tidak kelihatan mampu menjaringkan gol penyamaan. — AFP

Advertisement