Anda di sini

Program Rakyat platform penyatuan masyarakat

Advertisement
 Mohd Hasnol merakamkan kenangan bersama barisan Jawatankuasa Penduduk Tanjung Aru.
KENANGAN: Mohd Hasnol merakamkan kenangan bersama barisan Jawatankuasa Penduduk Tanjung Aru.

- Landasan terbaik mengukuh persefahaman, kekeluargaan penduduk Tanjung Aru

PROGRAM Rakyat anjuran Jawatankuasa Penduduk Tanjung Aru yang telah menutup tirainya kelmarin berjaya memberikan kesan yang amat positif dalam kalangan masyarakat di kawasan ini.

Sepanjang dua hari berkampung di tiga lokasi yang berhampiran, ternyata tiga aktiviti yang dimuatkan dalam program ini berjaya memikat penduduk dari tiga perkapungan pinggir pantai Laut Cina Selatan ini.

 Mohd Hasnol ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis penyampaian hadiah.
AMANAT: Mohd Hasnol ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis penyampaian hadiah.

Dalam menjayakan Program Rakyat yang berjalan pada 3 dan 4 April 2021 berkenaan, tiga acara telah disusun aturkan oleh Jawatankuasa Penduduk Tanjung Aru yang dipengerusikan oleh Khalid Haji Osman melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat dari seawal usia 7 tahun dari Kampung (Kg) Tanjung Aru Baru, Kg. Tanjung Aru Lama dan Pangsapuri Tanjung Aru.

Pada 3 April bermula jam 9.00 pagi, Program Rakyat yang ditaja sepenuhnya oleh Yang Dipertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah Datuk Haji Mohd. Hasnol Datuk Ayub membuka tirainya dengan dua acara.

 Peserta tekun mewarna gambar pada Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.
TEKUN: Peserta tekun mewarna gambar pada Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.
 Khalid menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.
TAHNIAH: Khalid menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.

Acara pertama ialah Pertandingan Sepak Takraw selangaraan oleh Hamid Pudin dan jawatankuasanya telah berlangsung di gelanggang sepak takraw Kg. Tanjung Aru Lama.

Dan serentak dengan itu ialah Program Derma Darah selengaraan oleh Samad Lawi dan jawatankuasanya telah berlangsung di Masjid Al Khauthar Tanjung Aru.

Program Derma Darah berkenaan juga dengan kerjasama Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Likas dan Masjid Al-Khauthar Tanjung Aru di bawah pengerusi baharunya Haji Malai Yunus.

 Pemenang adik beradik merakamkan kenangan bersama hasil lukisan yang mereka warna pada pertandingan itu.
BERBAKAT: Pemenang adik beradik merakamkan kenangan bersama hasil lukisan yang mereka warna pada pertandingan itu.
 Sebahagian penduduk Tanjung Aru yang hadir sempena majlis itu.
SOKONGAN: Sebahagian penduduk Tanjung Aru yang hadir sempena majlis itu.

Manakala untuk penyertaan warga cilik, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak yang diselenggara oleh Ben Manan dipilih bagi menarik penyertaan anak-anak penduduk Tanjung Aru dari seawal usia 7 hingga 10 tahun telah berlangsung di Balai Raya Kg. Tanjung Aru Baru pada 4 April.

Program Rakyat berkenaan telah dirasmikan oleh Datuk Haji Mohd. Hasnol Datuk Ayub secara simbolik dengan melakukan sepak mula dalam acara Pertandingan Sepak Takraw di gelanggang sepak takraw Kg. Tanjung Aru Lama.

Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Mohd Hasnol mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa pengelola yang  telah bertungkus lumus menjayakan program tiga dalam satu berkenaan.

 (Dari kiri) Hamid Pudin, Khalid Osman, Reduan dan Mohd Hasnol merakamkan kenangan bersama pasukan Rukut-Rukut yang menjuarai Pertandingan Sepak Takraw.
BERSAMA JUARA: (Dari kiri) Hamid Pudin, Khalid Osman, Reduan dan Mohd Hasnol merakamkan kenangan bersama pasukan Rukut-Rukut yang menjuarai Pertandingan Sepak Takraw.
 Antara penderma yang menderma darah sempena program derma darah di Masjid Al-Khauthar.
DERMA DARAH: Antara penderma yang menderma darah sempena program derma darah di Masjid Al-Khauthar.

Beliau melahirkan rasa bangga dan berbesar hati kerana program yang diadakan dalam dua hari ini memberikan manfaat kepada penduduk-penduduk di Tanjung Aru ini.

"Kita melihat peserta-peserta terdiri daripada semua lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak, dewasa dan juga warga yang telah berusia sama-sama menyertai acara-acara yang diadakan," jelasnya.

Katanya, apa yang beliau lihat program seperti ini perlu kita adakan lagi di masa-masa akan datang memandangkan ianya merupakan antara salah satu landasan yang  boleh mengukuhkan silaturahim penduduk kampung yang tinggal di kawasan Tanjung Aru ini.

 Pengerusi Masjid Al-Khauthar Tanjung Aru Haji Yunus Malai menyampaikan buahtangan kepada seorang penderma darah disaksikan Samad (kanan), Paul (kiri) dan Khalid (tengah).
PENGHARGAAN: Pengerusi Masjid Al-Khauthar Tanjung Aru Haji Yunus Malai menyampaikan buahtangan kepada seorang penderma darah disaksikan Samad (kanan), Paul (kiri) dan Khalid (tengah).

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pemimpin Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru, Mohd Reduan Datuk Haji Aklee yang turut menyokong dan membenarkan Program Rakyat ini dianjurkan di sini.

"Terimakasih juga kepada AJK Masjid Al-Khauthar terutama kepada Pengerusi, Haji Yunus Malai yang menjadi penganjur bersama Program Derma Darah yang diadakan di ruang legar masjid sepanjang dua hari program ini berlangsung.

Dalam pada itu katanya, dalam masa terdekat ini iaitu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti jika ada sokongan daripada pihak UPPM dan penduduk di Tanjung Aru ini akan diadakan lagi aktiviti seperti ini di sini .. InshaAllah.

 Khalid (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Hasnol di majlis itu.
CENDERAHATI: Khalid (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Hasnol di majlis itu.

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah itu ialah UPPM Tanjung Aru, Mohd Reduan Datuk Haji Aklee, Ketua Kampung Kg. Tanjung Aru Baru Awang Damit Haji Jair, Ketua Kampung Kg. Tanjung Aru Lama Haji Aripin Suhaili, JPKK Ibrahim Sani Merah dan penduduk Tanjung Aru.

Sebelum itu, pengerusi penganjur Khalid Haji Osman dalam ucapan ringkasnya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Datuk Haji Hasnol yang sudi menaja Program Rakyat yang julung kali diadakan di Kampung Tanjung Aru pada tahun ini.

Beliau mengharapkan program sebegini akan dapat dianjurkan lagi demi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di Tanjung Aru ini merangkumi penduduk Kg. Tanjung Aru Baru, Kg. Tanjung Aru Lama dan Pangsapuri Tanjung Aru.

 Sebahagian Jawatankuasa Penduduk Tanjung Aru merakamkan album kenangan.
KENANGAN: Sebahagian Jawatankuasa Penduduk Tanjung Aru merakamkan album kenangan.

"Kalah atau menang bukan menjadi keutamaan dalam penganjuran program ini. Namun apa yang penting adalah penyertaan dan penyatuan yang dapat dipupuk menerusi aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan," jelasnya.

Sementara itu, sebanyak 27 pain darah telah berjaya dikumpul sepanjang sehari setengah program derma darah itu berlangsung.

Bagi Pertandingan Sepak Takraw pula menyaksikan Pasukan Rukut-Rukut dinobatkan juara setelah menumpaskan Pasukan Pangsapuri B 2-0 pada saingan akhir.

 Seorang penderma darah (kanan) menerima buahtangan disampaikan oleh jawatankuasa wanita.
TERIMA KASIH: Seorang penderma darah (kanan) menerima buahtangan disampaikan oleh jawatankuasa wanita.

Juara menerima hadiah wang tunai, sebuah piala pusingan, piala iringan dan medal manakala naib juara (Pangsapuri B) menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan medal.

Tempat ketiga dikongsi bersama oleh Pasukan Carlos A dan Pasukan Mati Tanam yang masing-masing menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan medal.

Sepanjang dua hari program itu berlangsung, turut dibuka kaunter SPR untuk mendaftar pengundi-pengundi baharu dalam kalangan belia dan beliawanis juga penduduk di kawasan Tanjung Aru.

  • oleh
  • Advertisement