Anda di sini

Perlawanan Bintulu FA U25 dan Mukah FA U25 berakhir seri tanpa jaringan

Advertisement
 Dua pemain Bintulu cuba mengekang kemaraan pemain Mukah.
SENGIT: Dua pemain Bintulu cuba mengekang kemaraan pemain Mukah.

BINTULU: Skuad Bintulu FA U25 sekadar seri tanpa jaringan menentang Mukah FA U25 dalam Kejohanan Bola Sepak Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)-Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021 dalam pusingan pertama perlawanan di Padang Turf Kelab Kidurong Bintulu petang kelmarin.

Skuad kendalian Zaidel Termidi Suhaili itu dilihat sekurang-kurang mampu mencipta empat peluang untuk menjaringkan gol namun tidak bernasib baik apabila banyak percubaan tersasar.

Selaku ketua jurulatih, Zaidel berkata, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang seimbang tetapi tidak memihak kepada pasukannya sebagai tuan rumah, mungkin pada perlawanan pertama ini pemain-pemain kita gementar sebab belum pernah bermain dengan pasukan lawan.

"Kita ada perlawanan persahabatan (sebelum ini) untuk mendapatkan momentum permainan tetapi apabila melalui perlawanan sebenar rentaknya berubah dan ada yang kurang sikit. Kita tidak menjangkakan beberapa pemain kita mengalami hamstring (regangan otot)," ujarnya selepas perlawanan.

Ujarnya, kemungkinan satu faktornya, pemain terlampau lama rehat memandangkan mereka hanya mengadakan latihan ringan dua tiga hari ini untuk kecergasan bahkan terpaksa mengikut penjarakan fizikal akibat COVID-19 serta ada yang tidak dapat menjalani latihan penuh susulan penempatan pemain dilaksana sekatan pergerakan.

Sementara itu, pengurus pasukan Mukah FA Royston Valentine berkata, ini merupakan perlawanan kedua yang memberi cabaran tetapi kelebihannya pasukan telah melalui perlawanan pertama (27 Mac) menentang Miri FA meskipun tewas (0-2) tetapi menjadi pecetus semangat untuk Mukah mendapatkan mata di tempat lawan.

"Tahniah kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan, sekurang-kurangnya berjaya mendapatkan satu mata di tempat lawan," katanya.

Beliau menyatakan keyakinan dengan barisan kejurulatihan sedia ada sekali gus berharap Mukah akan mampu melangkah lebih jauh dalam saingan tersebut.

Dalam keadaan sekarang, dari segi persiapan tiada masalah namun kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"JPBNS memberi kebenaran untuk kita melakukan latihan dan perlawanan persahabatan mengikut syarat-syarat tertentu (sebelum ini) kerana kita faham keadaan sekarang tidak dapat lakukan aktiviti lebih-lebih, susulan kebimbangan penularan COVID-19," katanya.

Sebelum perlawanan kelmarin, para pemain dan pengurusan kedua-dua pasukan bertafakur satu minit bagi memperingati bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (BiFA) Mohd Zaifulfadillah Junaidi yang meninggal dunia Disember tahun lepas (2020).

Pusingan kedua perlawanan antara Bintulu dan Mukah akan berlangsung pada 29 Mei (Sabtu) di Stadium Bahagian Mukah.

Advertisement