Anda di sini

Penganggur mengaku tak bersalah rompak wanita, larikan kenderaan pacuan empat roda

Advertisement
Tertuduh (dua kiri) diiringi polis di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuching.
Tertuduh (dua kiri) diiringi polis di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang penganggur lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merompak dan mencederakan seorang wanita dalam kejadian bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh Chong Liang Hung, 45, sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Sebaik pengakuan direkodkan, Hakim Steve Ritikos membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan, selain menetapkan 5 Mei depan sebagai pengurusan kes. 

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang terdahulunya bekerja sebagai mekanik itu didakwa melakukan rompakan ke atas harta kepunyaan seorang wanita berusia 51 tahun iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. 

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh kira-kira jam 4.25 petang di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Batu Kawa, di sini, pada 21 Mac lalu. 

Menurut laporan terdahulu, mangsa berada di dalam kenderaan pikapnya untuk menghidupkan enjin kenderaannya di kawasan tempat letak kereta, sebelum tertuduh masuk ke dalam kereta di bahagian penumpang dan terus mengacukan pisau di pinggang mangsa.

Tertuduh juga menyuruh mangsa menghidupkan kereta dan jangan membuat bising. 

Mangsa yang berada dalam ketakutan hanya mengikuti arahan tertuduh.

Tertuduh seterusnya menolak mangsa keluar dari kenderaan terbabit dan terus melarikan kenderaan mangsa bersama beg duit yang mengandungi dokumen penting serta telefon bimbit.

Laporan terdahulu turut menyatakan bahawa lutut kanan mangsa cedera akibat jatuh daripada kereta namun tiada kecederaan parah dialami dan mangsa hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Difahamkan, tertuduh turut mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes kecurian kenderaan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Ilham Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement