Anda di sini

Pemain baharu, senior sandaran SUFC III hadapi Piala Belia 2021

Advertisement
 Pemain Sarawak United III gigih melakukan latihan menjelang kempen Piala Belia 2021 yang akan menyingkap tirainya pada Jun depan.
PERSIAPAN: Pemain Sarawak United III gigih melakukan latihan menjelang kempen Piala Belia 2021 yang akan menyingkap tirainya pada Jun depan.

MIRI: Sarawak United FC III (SUFC III) bersedia menghadapi perlawanan pertama pada Jun depan dengan membariskan pemain baharu dan senior pada pertandingan yang akan menyingkap tirainya, Jun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Miri yang juga Pengurusnya Nazri Ahmad Lai berkata SUFC III juga akan menjalani latihan intensif pada bulan Ramadan nanti.

"Ketika ini seramai 30 orang pemain masih lagi menjalani latihan di bawah kendalian Ketua Jurulatih Pengiran Bala dan rata-rata mereka teruja untuk menghadapi lawan pertama Jun kelak," katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Mengulas lanjut, Nazri berkata pihaknya telah menyenaraikan 30 pemain untuk kempen kali ini dengan menyaksikan 20 muka baharu.

"Selain mengekalkan 10 pemain senior, kita juga memilih 20 pemain baharu dari Betong, Belaga, Sibuti, Kuching dan Mukah selain tiga pemain yang telah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," jelasnya.

Tambahnya, kesemua pemain telah menjalani latihan bersama pengurusan teknikal sejak 9 Mac depan dan latihan akan diteruskan sehingga bermula kempen Piala Belia 2021.

"Saya mewakili keseluruhan pasukan mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak yang telah memberi kerjasama baik dalam pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi," jelasnya.

SUFC III diundi dalam Kumpulan C (Tengah) membabitkan Terengganu FC IV, Sabah FC IV, PJ City FC, Kuching City FC dan Selangor FC.

Selain menampilkan jurulatih Pengiran Bala dan Mohamad Hakimi Man, skuad itu turut dibimbing jurulatih Abu Bakar Amran, Fadillah Ibrahim, Saller dan Ishya Sabu.

Nazri berkata pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri bagi permohonan penggunaan padang latihan.

"Kita bersyukur permohonan untuk menggunakan padang telah diluluskan dan kita menggunakan padang KRP Lutong, IKBN Permyjaya dan padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) sebagai tempat latihan," katanya.

Ditanya mengenai sasaran pasukan itu musim ini, Nazri berkata pihaknya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi menyasarkan melepasi pusingan kedua.

Advertisement