Anda di sini

Pelajar sekolah menengah kembali ke sekolah hari ini, terap norma baharu 

Advertisement
Pelajar SMK Kota Samarahan mengimbas suhu badan sebelum masuk ke sekolah.
Pelajar SMK Kota Samarahan mengimbas suhu badan sebelum masuk ke sekolah.

KOTA SAMARAHAN: Setelah hampir setahun melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), akhirnya pelajar-pelajar menengah di Sarawak kembali ke sekolah, mulai hari ini. 

Tinjauan Utusan Borneo di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan di sini mendapati, sesi persekolahan bersemuka dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi, 881 pelajar dan petang 1, 448 orang, melibatkan keseluruhan jumlah pelajar 2,329 orang.  

Malah, amalan norma baharu turut diterapkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pandemik COVID-19 ini dengan menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pintu masuk sekolah. 

Selain itu, para pelajar di sekolah itu dilihat memakai pelitup muka, beratur dengan mengamalkan penjarakan sosial, mengimbas suhu dan kod QR sebelum masuk ke bilik darjah masing-masing. 

Bagi Osman Suni, 51, dari Kampung Tanjung Apong, meskipun ketika pandemik COVID-19, namun SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan keyakinan akan keselamatan anaknya. 

"Perasaan bimbang itu memang ada kerana kita di Sarawak tidak terkecuali dari dilanda wabak COVID-19 ini. 

"Tetapi dengan SOP yang ditetapkan, saya yakin keselamatan anak-anak ketika berada di sekolah," katanya ketika ditemui di SMK Kota Samarahan di sini hari ini. 

Pelajar turut disediakan kod QR masing-masing yang akan diimbas oleh guru sebelum dibenarkan masuk ke kelas mereka.
Pelajar turut disediakan kod QR masing-masing yang akan diimbas oleh guru sebelum dibenarkan masuk ke kelas mereka.

Tambahnya, beliau menyambut baik sesi persekolahan bersemuka ini dalam memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran. 

"Kalau pembelajaran dibuat dalam talian anak-anak kurang memberi tumpuan selain kekangan yang dihadapi ibu bapa dalam melaksanakan perkara ini. 

"Jadi saya menyambut baik pelaksanaan semula pembelajaran bersemuka di sekolah ini agar anak-anak dapat memberi tumpuan dan bertanya langsung kepada gurunya," katanya. 

Dalam pada itu, Osman yang mempunyai tiga anak, masing-masing di tingkatan lima, tiga dan tahun dua, memberitahu pelaksanaan pembelajaran bersemuka juga mengurangkan beban ibu bapa dari golongan yang kurang berkemampuan selain kawasan yang mempunyai masalah liputan internet. 

"Ada ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka seperti telefon pintar atau komputer selain masalah internet. 

"Oleh itu, pembelajaran bersemuka ini menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan ibu bapa yang kurang mampu ini," ujarnya. 

Sementara itu, seorang pelajar SMK Kota Samarahan, Aizatul Nabila Suhaidi, 14, melahirkan rasa teruja untuk bersua muka dengan rakan-rakan sekelasnya. 

"Saya gembira kerana sudah lama tidak belajar bersama rakan-rakan sekelas selain dapat memberi lebih lagi tumpuan ketika belajar," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement