Anda di sini

Liga Super: Sabah FC tekad jadikan JDT mangsa kedua

Advertisement
KURNIAWAN
KURNIAWAN

KOTA KINABALU: Sabah FC sedia meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila melayani kunjungan  juara bertahan itu  untuk saingan Liga Super di Stadium Likas, malam esok (Selasa).

Ketua Jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, ia bukan mustahil sebagaimana mereka meleburkan rekod  tanpa kalah Terengganu FC di venue sama sebelum ini.

Tambahan pula, malam ini Sabah FC akan turut diperkuatkan dengan sokongan penyokong buat julung kalinya.

Katanya, persiapan rapi telah dilakukan bagi memperbaiki beberapa kelemahan sedia ada termasuk menganalisis beberapa video perlawanan JDT untuk melihat ruang yang boleh Sabah FC gunakan bagi menjinakkan JDT.

“Sudah pasti semua pihak termasuk peminat setia ‘Rhinos’ mengharapkan kemenangan berpihak kepada Sabah FC yang bermain di Stadium Likas sambil disaksikan sendiri oleh kehadiran pertama penonton...Kita memberi jaminan untuk melakukan persembahan yang terbaik sebagai hadiah kepada mereka yang hadir ke stadium malam esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu.

Kurniawan berkata, mood pemain Sabah FC juga berada pada tahap yang membanggakan sekaligus berharap agar pemain dapat mengekalkan dan meneruskan rentak permainan terbaik mereka dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

“Apa yang pasti Sabah FC bertekad melakar sejarah sebagai kelab pertama dapat menewaskan JDT di Stadium Likas…Kita yakin jika semua pemain menunjukkan komitmen 100 peratus tidak mustahil perkara ini dapat akan dicapai,” katanya.

Kurniawan juga yakin masih ada barisan pemain terbaik yang boleh disandarkan menggalas cabaran walaupun ada beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan penggantungan permainan.

Pertahanan import, Park Te Su ialah antara yang terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan permainan kerana telah mengumpul tiga kad kuning.

“Kita mempercayai pemain yang ada…Saya yakin dengan pemain sedia ada dalam Sabah FC ini untuk selalu bersedia bermain secara maksimal dalam saat diperlukan…Latihan petang ini (semalam) kita akan cuba untuk membuat perancangan  menghadapi JDT esok,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement