Anda di sini

Bekas putera mahkota Jordan ditahan

Advertisement
 Gambar fail serahan agensi berita Jordan Petra pada 12 Januari, 2012 menunjukkan Hamzah bersama (dari kiri) kakak ipar tirinya Ratu Rania, isterinya Puteri Basma Otoum, abang tirinya Raja Abdullah dan ibunya Ratu Noor semasa upacara perkahwinannya di Istana Diraja Amman. — Gambar AFP
DITAHAN: Gambar fail serahan agensi berita Jordan Petra pada 12 Januari, 2012 menunjukkan Hamzah bersama (dari kiri) kakak ipar tirinya Ratu Rania, isterinya Puteri Basma Otoum, abang tirinya Raja Abdullah dan ibunya Ratu Noor semasa upacara perkahwinannya di Istana Diraja Amman. — Gambar AFP

NICOSIA: Bekas putera mahkota Jordan menyatakan kelmarin beliau kini berada dalam tahanan di rumah, namun menafikan terlibat dalam sebarang konspirasi terhadap abang tirinya Raja Abdullah II di sebalik kritikan tajamnya mengenai rasuah berleluasa dalam kerajaan.

Dalam rakaman video yang dihantar kepada BBC, Putera Hamzah bin Hussein menyatakan ketua kakitangan tentera telah mengunjungi beliau pada awal hari tersebut bagi memaklumkan: “Saya tidak dibenarkan keluar, berhubung dengan orang lain atau menemui mereka.”

Beliau menyatakan beberapa rakan-rakannya telah ditangkap, kawalan keselamatannya ditarik balik manakala sambungan Internet serta telefon telah diputuskan.

Namun putera itu menegaskan beliau sama sekali tidak terlibat dalam mana-mana konspirasi dan tidak bertanggungjawab bagi keadaan masalah dalam pentadbiran, kegiatan rasuah serta kepincangan struktur pentadbiran sejak 15 hingga 20 tahun lalu yang kini menjadi semakin teruk.

BBC menyatakan ia telah menerima video daripada peguam Hamzah, ketika muncul berita bahawa seorang bekas pembantu kanan diraja Jordan adalah antara beberapa suspek yang ditangkap kelmarin.

Pihak tentera menyatakan ia telah memberikan amaran kepada Hamzah tentang tindakannya yang boleh menjejaskan keselamatan negara, namun menafikan  beliau telah diberkas.

Pengarah Ketua-Ketua Staf Bersama Mejar Jeneral Yousef Huneiti juga menafikan laporan media bahawa Hamzah telah ditangkap.

"Saya bukan sebahagian daripada mana-mana konspirasi atau organisasi jahat,” Hamzah menyelar balas dalam video itu.

Beliau mengekalkan bahawa rakyat tidak lagi dibenarkan mengkritik pihak berkuasa atau menyuarakan pendapat tanpa dibuli, dikasari atau diancam.

Beliau menuduh sistem pemerintahan sebagai mempercayai bahawa kepentingan peribadi dan kewangan lebih penting berbanding nyawa dan maruah serta masa depan 10 juta penduduknya.

“Malangnya negara ini telah menjadi terhalang dalam korupsi, nepostisme, dan dalam pentadbiran yang salah serta keputusan yang memusnah dan merosakkan masa depan.”

Hamzah merupakan putera sulung Almarhum Raja Hussein dan isterinya dari Amerika Syarikat Ratu Noor.

Beliau mempunyai hubungan baik secara rasmi dengan Abdullah sebagai adik tirinya dan seorang tokoh terkenal yang rapat dengan para ketua puak.

Abdullah telah melantik Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999 sejajar dengan permintaan ayahanda mereka Hussein yang sedang nazak, namun pada 2004 telah melucutkan gelaran itu daripada beliau dan sebaliknya menabal putera sulungnya sendiri Hussein.

Agensi berita rasmi Petra menamakan Bassem Awadallah, ketua mahkamah diraja pada 2007-2008, dan Sherif Hassan bin Zaid sebagai antara suspek yang telah ditangkap kelmarin.

Sherif merupakan gelaran yang diberikan kepada mereka yang rapat dengan keluarga diraja di Jordan

Kedua-dua mereka ditangkap atas sebab-sebab keselamatan selepas satu operasi rapat, menurut Petra, memetik kepada satu sumber keselamatan. — AFP

Advertisement