Anda di sini

Artis wanita mendominasi pencalonan Brit Awards

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 21 Februari 2018 menunjukkan penyanyi dan penulis lagu British Dua Lipa mendapat bantuan daripada  pekerja yang membetulkan gaunnya semasa tiba untuk Brit Awards 2018 di London. Artis wanita kembali mendominasi pencalonan Brit Awards 2021 yang telah diumumkan baru-baru ini, dengan empat orang wanita disenarai pendek bagi kategori album terbaik yang menjadi rebutan setiap tahun dalam acara tersebut.  — Gambar AFP
DOMINASI ARTIS WANITA: Gambar fail bertarikh 21 Februari 2018 menunjukkan penyanyi dan penulis lagu British Dua Lipa mendapat bantuan daripada pekerja yang membetulkan gaunnya semasa tiba untuk Brit Awards 2018 di London. Artis wanita kembali mendominasi pencalonan Brit Awards 2021 yang telah diumumkan baru-baru ini, dengan empat orang wanita disenarai pendek bagi kategori album terbaik yang menjadi rebutan setiap tahun dalam acara tersebut. — Gambar AFP

ARTIS wanita kembali mendominasi pencalonan Brit Awards 2021 yang telah diumumkan baru-baru ini, dengan empat orang wanita disenarai pendek bagi kategori album terbaik yang menjadi rebutan setiap tahun dalam acara tersebut.

Buat julung kalinya, album terbaik dalam acara tahunan terbesar bagi pop UK itu mempunyai empat orang wanita tersenarai dalam kategori dengan lima calon, berbanding tahun lepas ketika kategori tersebut mendapat kritikan kerana kurang artis wanita.

Penyanyi dan penulis lagu Inggeris Dua Lipa merupakan artis yang turut bertanding dalam kategori album terbaik selepas membawa pulang satu anugerah Grammy bagi album pop terbaik untuk rekod beliau ‘Future Nostalgia’ baru-baru ini.

Penyanyi berusia 25 tahun itu telah menerima dua lagi pencalonan untuk artis solo wanita terbaik dan single terbaik bagi lagu hit beliau ‘Physical’.

Penyanyi baharu Arlo Parks, penyanyi soul Celeste, duo rap Young T & Bugsey dan DJ serta pengarah Joel Corry masing-masing telah menerima tiga pencalonan daripada beberapa kategori yang berlainan.

Bintang pop Ariana Grande, Billie Eilish, Cardi B, Miley Cyrus dan Taylor Swift telah dicalonkan dalam kategori artis solo wanita antarabangsa.

Bruce Springsteen telah menerima pencalonan dalam senarai artis lelaki antarabangsa bersama dengan Childish Gambino, The Weeknd, Tame Impala dan Burna Boy.

Kumpulan besar K-pop BTS menerima pencalonan pertama mereka bagi Anugerah Brit bagi kumpulan antarabangsa manakala bintang kelahiran Britain sendiri Harry Styles memperolehi satu pencalonan bagi single ‘Watermelon Sugar’.

Pemenang bagi anugerah 2021 akan diumumkan dalam satu majlis pada 11 Mei di 02 Arena, London, walaupun ia masih belum jelas apakah bentuk majlis yang akan diadakan disebabkan oleh sekatan koronavirus.

Di bawah pelan kerajaan sekarang bagi mengurangkan peraturan koronavirus kawasan untuk muzik secara langsung tidak akan dibenarkan untuk dibuka sehingga 17 Mei.
Acara tahunan, yang biasanya diadakan pada Februari telah ditangguhkan selama tiga bulan disebabkan oleh kebimbangan berkaitan keselamatan dan lojistik akibat pandemik tersebut. — AFP

Advertisement