Anda di sini

Sarawak United kekalkan rekod tanpa kalah

Advertisement
Lee bersama pemain Sarawak United meraikan gol pasukannya ketika bertemu Kelantan FC di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.
Lee bersama pemain Sarawak United meraikan gol pasukannya ketika bertemu Kelantan FC di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.

KUCHING: Sarawak United FC kembali menemui rentak kemenangan apabila berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menumpaskan Kelantan FC 1-0 ketika berkunjung ke Stadium Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.

Dengan kemenangan itu, pasukan bimbingan E Elavarasan Elangowan berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lima perlawanan dalam saingan Liga Perdana Malaysia 2021.

"Tahniah kepada penjaga gawang dan pemain pertahanan kita kerana misi kita untuk menang dan menjaga gol tanpa dibolosi dalam perlawanan ini dapat dicapai sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang mengharungi lima perlawanan dalam liga ini.

"Ini satu motivasi untuk para pemain untuk mengekalkan prestasi ini jika mahu menjuarai liga ini," katanya selepas perlawanan.

Mengenai perlawanan menentang Kelantan itu, Elavarasan berkata, tuan rumah memang memberi tentangan hebat kerana kedua-dua pasukan memburu kemenangan.

Jelasnya, peluang adalah 50 untuk pasukan menyamakan kedudukan meskipun Sarawak United telah mendahului perlawanan itu menerusi jaringan pemain Lee Chang Hoon pada minit-37. 

"Main di tempat lawan risau juga sebab Kelantan bermain di halaman sendiri yang mana mereka memerlukan kemenangan dalam perlawanan ini.

"Perlawanan ini boleh menjadi seri kerana 1-0, minit-minit terakhir itu kita takut hendak buat kesilapan namun akhirnya berjaya mengutip tiga mata berharga," ujarnya.

Sementara itu, Kuching City FC pula terpaksa berpuas hati selepas mengikat pendahulu liga Negeri Sembilan FC tanpa jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada malam Sabtu.

Pasukan Sarawak United akan bertemu Selangor FC II di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 7 April ini.

Manakala Kuching City akan berdepan dengan Skuad Projek FAM-MSN pada Rabu ini (7 April) di Stadium UiTM Shah Alam.

  • oleh
  • Advertisement