Anda di sini

DCCI digesa rebut kemudahan disediakan MEDAC untuk gerakkan perniagaan

Advertisement
Wan Junaidi bercakap kepada media selepas sesi dialog bersama DCCI di Kuching hari ini. Turut kelihatan Leonard (kiri).
Wan Junaidi bercakap kepada media selepas sesi dialog bersama DCCI di Kuching hari ini. Turut kelihatan Leonard (kiri).

KUCHING: Ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) digesa untuk merebut kemudahan yang ada disediakan oleh pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi menggerakkan perniagaan mereka. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata banyak kemudahan disediakan oleh pelbagai agensi di bawah MEDAC dari segi bantuan pembiayaan, pemasaran, latihan dan sebagainya. 

“Kementerian mempunyai semua kemudahan dan latihan dari aspek pengurusan, pemasaran dan juga penggunaan teknologi moden dalam perniagaan dan keusahawanan. 

“Sebagai contoh dalam bidang pembuatan, ada agensi yang memberi latihan bahkan sumber bantuan kewangan kepada penceburnya di bawah SME Corporation. 

“Saya harap golongan muda dapat menyahut cabaran ini dan jika ada kekurangan input dan sebagainya boleh datang berjumpa saya atau wakil-wakil agensi di bawah kementerian untuk nasihat,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama DCCI yang diketuai Dato Leonard Martin Uneng selaku presiden yang baharu di Institut Koperasi Malaysia yang terletak di Wisma Sego di sini hari ini. 

Bercakap mengenai sesi dialog tersebut, Wan Junaidi berkata ia turut disertai wakil dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia, Tekun Nasional, SME Corporation, SME Bank dan Bank Rakyat. 

Banyak isu dibangkitkan dalam sesi dialog selama tiga jam tersebut antaranya keusahawanan, koperasi, pembiayaan, perniagaan francais dan pelbagai lagi. 

“Saya sudah menjelaskan panjang lebar apa kemudahan yang ada disediakan dalam kementerian saya dan saya mahu lihat sesuatu digerakkan daripada komuniti Dayak umpamanya perniagaan francais. 

“Banyak produk yang bagus dari Sarawak yang boleh diusahakan sebagai perniagaan francais yang bukan sahaja menjana keuntungan dari sudut kewangan dan ekonomi tetapi juga mendedahkan negeri kita Sarawak sebagai pengeluar produk atau perkhidmatan tertentu yang boleh diguna pakai di mana-mana di dunia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Wan Junaidi berkata kementeriannya berusaha memperluaskan infrastruktur seperti bank dengan membuka beberapa cawangan Bank Rakyat di Sarawak sebagai kemudahan kepada rakyat dan komuniti perniagaan. 

Selain itu katanya kemudahan bank bergerak juga dirancang oleh kementeriannya bersama kerajaan negeri yang mana akan dilancarkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

Tekun Nasional katanya juga sudah meluluskan pembukaan cawangannya di lapan kawasan iaitu Stampin, Lundu, Serian, Lachau, Betong, Kanowit, Daro dan Sibuti untuk membantu perniagaan di luar bandar. 

Manakala Institut Keusahawanan Negara telah melatih 240,000 anak-anak muda Malaysia pada tahun 2020 menerusi perniagaan sebenar. 

  • oleh
  • Advertisement