Anda di sini

Koperasi di Sarawak digesa bekerja dengan kerajaan negeri wujudkan hab makanan

Advertisement
melawat ladang pisang milik Koperasi Penduduk Daerah Asajaya Berhad, di sini hari ini.
Wan Junaidi melawat ladang pisang milik Koperasi Penduduk Daerah Asajaya Berhad, di sini hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Koperasi di Sarawak digesa menyertai inisiatif kerajaan negeri dalam membangunkan negeri itu menjadi hab pengeluaran makanan global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata koperasi mempunyai sumber yang membolehkannya menjadi antara pemacu dalam pembangunan sektor pengeluaran makanan negeri dengan meningkatkan pelaburan dalam perniagaan berasaskan pertanian yang berskala komersial. 

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk koperasi meningkatkan penglibatan mereka dalam projek yang dapat memberikan impak besar, bukan sahaja kepada ahli tetapi juga komuniti setempat.

“Dalam menangani isu jaminan makanan, kita perlu mula mengeluarkan sendiri makanan  bagi mengurangkan kebergantungan pada import. Bagaimanapun usaha ini mungkin memerlukan modal besar, sebab itulah tidak ramai usahawan yang berani menceburinya.

“Di sinilah koperasi boleh memainkan peranan. Ia ada sumber untuk meneroka pelaburan strategik seperti perniagaan berasaskan pertanian. Pelaburan seperti ini dapat membawa pulangan besar kepada ahli dan juga masyarakat setempat menerusi pewujudan peluang pekerjaan, mempercepat pembangunan infrastruktur di Sarawak serta pelbagai kesan limpahan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas melawat ladang pisang milik Koperasi Penduduk Daerah Asajaya Berhad, di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, setakat 31 Dis lepas, terdapat 1.077 koperasi di Sarawak dengan keahlian mencecah 300,000 orang.-- BERNAMA

Advertisement