Anda di sini

Ismail Sabri: PKPD dilaksanakan di Kampung Binyu bermula esok

Advertisement
Ismail Sabri. - Foto Bernama.
Ismail Sabri. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua buah kampung di Sarawak iaitu Kampung Binyu Baru, Samarahan dan Kampung Binyu Lama, Kuching bermula esok hingga 17 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata sehingga kini, KKM telah melaksanakan ujian saringan ke atas 11 orang di Kampung Binyu Baru dan daripada jumlah itu sebanyak empat kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata KKM mengesan peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi di Kampung Binyu Lama, apabila sehingga 1 April sebanyak 57 kes positif COVID-19 direkodkan di lokaliti tersebut.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19, supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, enam individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan lima dikompaun dan seorang lagi direman melibatkan kesalahan gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera atau secara manual (3), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (2) dan tidak memakai pelitup muka (1).

Bagi kawalan sempadan negara pula, beliau berkata seorang pendatang tanpa izin dan lima penyeludup ditangkap dalam Operasi Benteng semalam, selain tiga kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan sebanyak 1,260 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dan enam orang didapati positif.

Secara kumulatif, beliau berkata sebanyak 671,148 pekerja asing menjalani ujian saringan yang melibatkan 34,801 majikan. -- BERNAMA

Advertisement