Anda di sini

Pelakon bangga filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ menang anugerah

Advertisement
 Infeksi Zombie’.
PENGALAMAN TERBAIK: Kembuan bercakap tentang pandangannya dan wataknya dalam ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’.

SEORANG daripada pelakon tambahan filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ merasa gembira dan bangga berikutan filem itu yang bukan sahaja memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa bahkan mempromosi negeri Sarawak, adat, cara hidup, bahasa, budaya, pakaian tradisi serta pahlawan Iban di mata dunia.

Beliau ialah Kembuan Thomas, 60, dari Tatau yang juga Timbalan pengerusi Kelab Gagong Sarawak melihat akan manfaat besar daripada kejayaan filem tersebut untuk Sarawak dan negara ini.

“Saya berasa begitu gembira apabila mengetahui filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ ini menang dua anugerah peringkat antarabangsa.

“Pertamanya ia dapat mempromosi negeri Sarawak di mata dunia, kedua mempromosi pakaian atau ‘ngepan’ asal ‘Bujang Berani’ atau pahlawan Iban atau mempromosi ‘gagong ngepan’ yang juga pakaian asal bangsa Iban termasuk mempromosi adat, cara hidup dan bahasa Iban,” ujar Kem-buan semasa ditemu bual di Tatau pada Selasa.

Kembuan mengucapkan terima kasih kepada pengarah filem tersebut, Ray Lee dan penulis skripnya Misha Minut Panggau kerana “mempunyai idea dan pandangan untuk memanggil kami dari Kelab Gagong Sarawak diterajui pengerusinya Jabang Juntan dan ahlinya Sammy Ngelam-bai, Fabian Masing, Martin Bilun, Bos Tupa, Binar Berayun, Dennis Tan termasuk saya sendiri untuk membantu bagi melakonkan beberapa watak dalam usaha menjayakan filem ini.

“Saya memegang dua watak dan kami seramai lapan orang meskipun bukan memegang watak utama tetapi kami berasa bangga kerana mempunyai peluang untuk mengetengahkan pakaian atau ‘ngepan’ serta adat asal bangsa Iban dalam filem.

“Watak pertama saya adalah sebagai ketua kampung atau Tuai Rumah yang menjaga satu kawasan rumah panjang dari serangan zombie. Watak kedua saya pula ialah sebagai ‘Bujang Berani’ atau Pahlawan,” katanya.

Serba sedikit jalan cerita filem itu katanya, “Semasa upacara miring diadakan mengikut adat Iban di rumah panjang tersebut zombie datang menyerang tempat atau rumah panjang kami dan saya mengarahkan semua lapan orang bujang berani untuk berlawan dengan zombie.”

Dengan kejayaan filem itu di peringkat antarabangsa, Kembuan menyeru penduduk di Sarawak untuk sama-sama menyokong filem itu dan menontonnya di pawagam apabila filem tersebut ditayangkan nanti memandangkan filem ini amat menarik serta telah memenangi anugerah antarabangsa.

“Saya tidak ingin bercerita lebih lanjut berkenaan filem ini, sebaliknya saya menyeru agar kita sama-sama menontonnya apabila ditayangkan di pawagam kelak,” katanya yang juga seorang pengusaha kraftangan pembuatan ‘Gagong’ di Tatau.

Filem arahan Ray Lee dengan penulis skrip adalah Misha Minut Panggau merupakan anak tempatan dari Limbang, Sarawak yang juga penerbit filem tersebut memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 baru-baru ini.

Filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ itu turut melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia.

Filem berkenaan turut tercalon di Los Angeles Marina Del Rey Film Festival (LAMDRFF) bagi kategori Filem Cereka Terbaik (Best Feature Film).

‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila yang menggabungkan elemen seram serta aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Filem itu menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia Katrina Grey.

Filem edaran Metrowealth Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada Ogos depan.

  • oleh
  • Advertisement